Gaji Ahmad Faizal Penasihat Khas PM Dibayar Secara Pro-Rata

KUALA LUMPUR – Pendapatan Penasihat Khas bekas Perdana Menteri bertaraf Menteri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumlah RM27,227.20.

Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan tempoh perkhidmatan beliau adalah singkat dan tidak cukup sebulan, gaji Ahmad Faizal berjumlah RM27,227.20 dibayar secara pro-rata dan juga gantian notis penamatan perkhidmatan sebanyak sebulan gaji.

“Jawatan ini tidak membabitkan pembayaran pencen,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).

Lim mahu Ismail Sabri memperincikan jumlah gaji yang diterima Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf Menteri, jumlah gratuiti dan pencen bulanan serta skop tugas beliau sebenarnya.

Ismail Sabri berkata, tugas Ahmad Faizal untuk menasihati Perdana Menteri dalam hal berkaitan komunikasi komuniti.

“Beliau bertanggungjawab mewujudkan jalinan kerjasama yang erat antara kerajaan dan pimpinan masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar kerajaan menerusi saluran komunikasi yang berkesan dan meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi rakyat,” katanya. – myMetro Online