Gagal Serah Penyata, Syarikat Penerbangan Dikompaun

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan baharu Monspace Sky Airlines Suasa Sdn. Bhd. telah dikenakan kompaun berikutan kegagalan menyerahkan penyata tahunan kewangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata syarikat penerbangan itu sepatutnya menyerahkan penyata berkenaan pada Mac lepas tetapi pihak SSM masih tidak menerima penyata kewangan berkenaan pada tempoh ditetapkan.

“Disebabkan kegagalan itu, kami telah menghantar notis kompaun dalam masa terdekat sebelum tindakan mahkamah dikenakan kepada syarikat berkenaan sekiranya masih gagal membentangkan penyata yang diperlukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hamzah berkata syarikat itu telah mendaftarkan perniagaan pada 22 Ogos 2014 namun gagal mengemukakan penyata selepas 15 bulan yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Akta Syarikat 1965.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata Monspace Sky Airlines atau Suasa Airlines Sdn. Bhd. tidak mendapatkan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) penuh daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebelum mengendalikan sebarang operasi pengangkutan udara komersial.

Katanya Suasa Airlines telah menerima ASP sementara pada 15 Dis 2015, namun setakat ini tiada ASP penuh dikeluarkan kepada syarikat berkenaan sehingga hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat penerbangan swasta itu, yang kini beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah melancarkan penerbangan sulung dari KLIA ke Langkawi pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Hamzah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 serta sumbangan duit raya kepada 30 orang anak yatim dari pertubuhan kebajikan yang berpusat di Gombak pada Majlis Hari Raya Aidilfitri SSM di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Zahrah Abd Wahab Fenner. – BERNAMA

Leave a Reply