Gagal Pemeriksaan Puspakom Antara Punca Kemalangan

KUALA LUMPUR – Gagal membuat pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengikut jadual ditetapkan, adalah antara punca kemalangan melibatkan kenderaan berat di lebuhraya-lebuhraya utama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata mengikut stastik, enam peratus kenderaan perdagangan gagal menjalani Pemeriksaan Berkala dan membahayakan pengguna jalan raya.

“Mengikut undang-undang, setiap kenderaan perdagangan contohnya bas dan trailer, perlulah diperiksa di Puspakom setiap 6 bulan. Sekiranya kenderaan ini lewat iaitu lebih 6 bulan, ataupun mungkin tak datang lagi, ia bukan saja satu kesalahan undang-undang, tapi membahayakan pengguna jalan raya”, katanya kepada Bernama News Channel baru-baru ini.

Beliau berkata antara pemeriksaan yang dijalankan adalah tahap keberkesanan brek, gelincir sisi, pemeriksaan asap dan keadaan tayar.

Sekiranya pemeriksaan satu komponen itu gagal, maka Puspakom akan menggagalkan pemeriksaan itu, atau memberi cadangan tentang apa yang perlu dilakukan untuk memperbaiki kondisi kenderaan itu, katanya.

Mohammed Shukor berkata mengikut statistik 2017, 182,000 daripada 1.5 juta kenderaan perdagangan yang diperiksa setiap tahun gagal dalam pemeriksaan brek dan menjadi penyebab utama kemalangan.

Beliau turut mendedahkan, terdapat juga kes berlakunya penyewaan komponen-komponen sementara yang digunakan kenderaan demi melepasi pemeriksaan Puspakom, namun menurutnya perkara itu adalah di luar bidang kuasa Puspakom.

“Ada perkhidmatan menyewakan komponen-komponen kenderaan ini secara contemporary, khas untuk buat pemeriksaan supaya dia lulus. Jadi dia dah lari daripada objektif utama iaitu untuk memastikan kenderaan kita selamat berada di atas jalan raya bukan untuk lulus saja”, katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Shukor turut menafikan dakwaan wujud unsur rasuah dalam pemeriksaan Puspakom yang menurutnya dijalankan mengikut piawaian antarabangsa.

“Sistem kita di Puspakom adalah bersepadu, berkomputer. Tiada ruang untuk manipulasi. Bagaimanapun Puspakom akan membuat siasatan sekiranya ada maklumat dan fakta-fakta yang kukuh untuk kita ambil tindakan,” katanya. – BERNAMA

Loading...