Gagal Keluar Duit, Peniaga Pecahkan Skrin ATM

SIBU – Gara-gara gagal mengeluarkan wang, seorang peniaga naik berang dan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Pahlawan di sini, lewat Jumaat.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, lelaki berusia 44 tahun itu, yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dikatakan menggunakan tong sampah di tepi mesin itu untuk memecahkan skrin ATM berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan di bilik ruang ATM bank berkenaan dan didapati di bawah pengaruh alkohol.

“Siasatan awal pihak polis mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana gagal untuk mengeluarkan sejumlah wang dari ATM itu,” kata beliau di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan bank berkenaan telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. – BERNAMA