Gaduh Di Puchong Kerana Upah Baiki Kenderaan, Bukan Perkauman

SEPANG – Pergaduhan yang berlaku di sebuah bengkel di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini semalam adalah berpunca daripada ketidakpuasan…

SEPANG – Pergaduhan yang berlaku di sebuah bengkel di Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini semalam adalah berpunca daripada ketidakpuasan hati mengenai upah membaiki kenderaan dan bukannya berkaitan isu perkauman.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata dalam kejadian tersebut dua pekerja bengkel berbangsa Sikh telah ditahan kerana melakukan serangan keatas dua mangsa lelaki Melayu termasuk pemilik kenderaan yang menghantar kereta untuk dibaiki di bengkel berkenaan.

“Mengikut perjanjian, kos membaiki kereta itu hanya RM410 namun ketika pemilik ingin menuntut keretanya semalam, kos telah bertambah sebanyak RM200 dengan alasan yang tidak munasabah termasuk caj parking dan upah kerja lebih masa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rentetan daripada hal itu, katanya berlaku pertengkaran diantara kedua-dua pihak yang telah menarik perhatian orang ramai sehingga berlaku pergaduhan seperti yang tular di media sosial.

Menurut Abdul Aziz, selepas menyerang orang ramai termasuk mencederakan dua mangsa, kedua-dua suspek itu telah bersembunyi di dalam bengkel itu yang kemudian dikerumuni dan dikepung orang ramai dari luar kedai.

Katanya sebaik menerima laporan dari orang awam, pihak polis telah bertindak pantas dengan menghantar lima kenderaan dengan kekuatan 25 anggota termasuk tiga pegawai bagi mengawal keadaan.

Sehubungan itu polis telah menahan kedua-dua suspek pada pukul 6 petang semalam dan direman empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh.

Sementara itu, katanya kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya dan dibenarkan pulang malam tadi. – BERNAMA

Loading...