Gadis ‘Pelaris’ Loteri Haram Kena Cekup

BINTULU – Pelbagai taktik digunakan sindiket perjudian haram di Sarawak, termasuk menjadikan gadis muda dan wanita cantik sebagai ‘pelaris’ jualan loteri haram mereka.

Helah itu terbongkar selepas dua wanita tempatan berusia 23 dan 30 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam dua serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sindiket berkenaan.

“Serbuan dilakukan pada jam 1.30 petang dan 5.30 petang semalam melalui operasi khas, Ops Dadu, khusus bagi membersihkan daerah ini dari sebarang aktiviti perjudian haram.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM380 dipercayai hasil jualan loteri haram berkenaan, selain dua unit telefon bimbit, mesin pengira, dua unit mesin cetak mudah alih dan helaian kertas dipercayai rekod pertaruhan,” katanya.

Katanya, serbuan dilakukan atas maklumat risikan susulan aduan awam mengenai kegiatan mencurigakan di kedua-dua premis berkenaan.

“Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sementara itu, beliau menghargai kerjasama orang ramai dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerangi kegiatan perjudian haram dengan menyalurkan maklumat berkaitan. – BH Online

Loading...