Francissca Peter Rasa Terhina Syed Saddiq Bawa BTS

PENYANYI tersohor, Francissca Peter meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq untuk membawa kumpulan BTS ke negara ini.

Menurut Francissca, keputusan itu merupakan suatu penghinaan buat artis tempatan yang selama ini terpaksa berusaha keras menghasilkan karya terbaik namun tidak dihargai.

“Kenapa anda perlu bawa artis luar untuk membuat persembahan di negara kita dan secara besar-besaran? Ia merupakan penghinaan buat kami dan ia amat menyakitkan.

“Sejujurnya saya tidak begitu gembira mendengar perkhabaran itu kerana negara kita sendiri memiliki begitu banyak artis yang sangat bagus.

“Kami sendiri menerima bayaran yang sangat rendah… boleh diibaratkan seperti ‘artis mesin karaoke’ sahaja.

“Saya tidak tahu berapa juta anda bayar mereka (BTS), tetapi kami sebagai artis tempatan berasa terhina dengan tindakan itu,” katanya kepada mStar.

Francissca ditemui selepas sidang media A Night with Legends Desaru Coast bertempat di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu adalah penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim dan lagenda rock, Datuk Ramli Sarip.

Selain itu, penyanyi popular 80-an ini turut menyifatkan ‘alasan’ Syed Saddiq membawa kumpulan K-Pop ke negara ini sebagai suatu yang tidak relevan.

“Alasan anda bawa kumpulan luar negara buat persembahan di Malaysia untuk membantu sektor pelancongan adalah tak masuk akal.

“Buat apa pelancong datang ke mari untuk melihat sesuatu yang sudah sedia ada?” soalnya.

Terdahulu, Syed Saddiq memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam usaha membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal, BTS ke Malaysia untuk membuat persembahan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menurutnya, usaha itu turut dilakukan dengan kerjasama Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes.

Dalam pada itu, Francissca yang pernah popular dengan lagu Sekadar Di Pinggiran turut mencabar Menteri Belia dan Sukan itu untuk menganjurkan sebuah konsert berskala besar khusus buat artis tempatan menampilkan karya sebenar mereka.

Menurutnya, jika dia diberi dana yang sama jumlah diterima BTS, dia juga mampu memberikan persembahan memukau.

“Jika anda beri saya RM2 juta, saya akan beri anda persembahan sangat memukau dan luar biasa. Pilih sahaja artis tempatan mana yang anda suka dan anjurkan sebuah konsert besar-besaran buat mereka.

“Kami boleh cari penari terbaik di kota ini untuk bersama dalam persembahan kami. Ketika itu, saya akan tunjukkan makna persembahan sebenar!

“Persembahan yang akan membuatkan anda mampu mengalami mimpi ngeri,” selorohnya. – mStar Online

Loading...