Fokus Pembersihan Sektor Awam Daripada Rasuah

PUTRAJAYA – Fokus pembersihan sektor perkhidmatan awam yang dilaksanakan adalah bagi memastikan penjawat awam sentiasa mengamalkan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik serta bebas daripada amalan rasuah, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

“Ia akan dapat memacu setiap penjawat awam, yang merupakan tulang belakang dan penggerak utama kerajaan, ke arah pemantapan sistem penyampaian yang berkesan,” katanya dalam perjumpaan dengan media “Up and Close KSN with Media” di sini, hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menekankan agar pembersihan dibuat supaya perkhidmatan awam dapat menyampaikan tugas yang ditetapkan serta memastikan usaha membersihkan salah laku dan rasuah dapat diatasi sebaik mungkin.

“Apabila berlaku perubahan dalam kerajaan, penjawat awam perlu membuat penyesuaian dari segi cara bekerja. Sudah tentu, kerajaan baharu mempunyai penekanan dan fokus tertentu yang memerlukan penjawat awam memberikan satu penyelarasan terhadap tumpuan itu,” katanya.

Ismail dilantik sebagai ketua setiausaha negara pada 29 Ogos lepas. Beliau menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan telah mewujudkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi memastikan tadbir urus kerajaan dapat ditingkatkan dan diteruskan dari semasa ke semasa bertujuan mewujudkan ketelusan dalam sistem penyampaian awam.

“Selain menangani rasuah dalam kalangan penjawat awam, kerajaan juga dalam proses memulihkan prinsip urus tadbir yang baik, amalan baik serta menjalankan latihan kepada penjawat awam agar garis panduan yang betul dapat ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Mengenai kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam, Ismail berkata: “Saya boleh katakan ia tidak serius dan hanya melibatkan bilangan tertentu. Bilangannya semakin berkurangan. Awal tahun ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 200 kes. Pada asasnya ia terkawal.”

Ismail berkata beliau juga sedang melihat peranan perkhidmatan awam secara keseluruhan, dan dalam proses menyusun jabatan dan agensi yang terlibat dalam pertindihan tugas untuk diletakkan di bawah kementerian yang relevan.

“Perubahan ini dijangka dapat dibuat selepas tempoh enam bulan, untuk melihat jabatan dan agensi mana yang diselaras, ditutup atau dibuat penyesuaian tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata beliau telah mengadakan tiga perjumpaan dengan penjawat awam iaitu di Perak, Johor dan Selangor untuk mengingatkan mereka supaya bersikap berkecuali dalam soal politik dan perlu berkhidmat kepada mana-mana pihak yang dipilih sebagai kerajaan semasa.

“Sebenarnya, ada peraturan di dalam perkhidmatan awam. Tahap tertentu penjawat awam di Gred B boleh memegang jawatan di parti politik jika mendapat kelulusan dari pihak atasan manakala mereka di Gred A tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan utama kecuali menjadi ahli biasa,” katanya.

Ismail turut memaklumkan walaupun beliau tidak memantau mana-mana laman media sosial penjawat awam berhubung kenyataan berunsur politik, namun menasihatkan penjawat awam agar menjaga tatatertib dalam menzahirkan pendapat mereka agar tidak menyentuh isu sensitif keagamaan dan polisi serta dasar kerajaan.

Berhubung dakwaan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP) Tun Daim Zainuddin bahawa ada kalangan penjawat awam dan agensi penguatkuasaan yang menyalurkan maklumat kepada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang sedang diburu, Ismail berkata:

“Biarlah jabatan tertentu membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya. Pasti ada penjawat awam terlibat, kalau tidak kenapa Tun Daim nak bangkitkan isu itu. Saya tidak dapat jelaskan perkara itu. Mungkin pasukan risikan ada maklumat mengenai itu”.

Kepada soalan lain, Ismail berkata beliau ingin meninggalkan legasi dan aspirasi menjadikan perkhidmatan awam di negara ini sebagai yang terbaik agar Malaysia mampu mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. – BERNAMA

Loading...