Florida Bakal Dilanda Mega Tsunami?

PESISIR pantai Florida kini dibadai taufan Dorian.

Taufan dengan kelajuan angin 175 kilometer sejam melanda sejak awal pagi telah mengakibatkan kemusnahan di pusat pelancongan pesisir pantai popular itu.

Tiada siapa dapat menghalang kuasa alam. Sepertimana kemusnahan akibat Taufan Dorian, ahli sains turut menjangka satu lagi malapetaka hebat bakal melanda Florida — mega tsunami.

Nun jauh di seberang Lautan Atlantik terletaknya sebuah gunung berapi dorman digelar Cumbre Vieja.

Gunung yang berada di Pulau La Palma di kepulauan Canary, Sepanyol ini pernah meletus dua kali pada tahun 1949 dan 1971.

Walaupun letupan itu berlaku 70 tahun lalu, timbul kegusaran dalam kalangan penyelidik bahawa insiden itu boleh berulang.

Kerisauan itu dikuatkan lagi dengan berlakunya gempa bumi berskala kecil di antara 1.5 dan 3.5 magnitud yang melanda La Palma lebih 10 kali pada awal tahun 2019.

Apa yang merisaukan para saintis ialah keadaan pulau itu yang sudahpun menunjukkan keretakan pada struktur tanahnya.

Jika berlaku letusan gunung berapi, besar kemungkinan pulau itu akan terbahagi dua dan sebahagian besar tanah akan menggelongsor ke dalam laut dan mencetuskan gelombang tsunami.

Jika benar ia berlaku, peralihan tanah ini boleh mengakibatkan tsunami besar setinggi 80 hingga 90 kaki (20 hingga 25 meter) yang membadai pesisir pantai timur Amerika Syarikat.

Perkara ini disahkan pakar penyelidik Dr. Steven Ward dari Universiti California, dan disokong Dr. Simon Day dari Pusat Penyelidikan Benfield Greig Hazard di Universiti College London.

“Sekiranya Cumbre Vieja meletus, bahagian barat gunung La Palma bakal tenggelam ke dalam Lautan Atlantik dan mega tsunami yang dahsyat bakal melanda tidak lama kemudian,” kata Dr. Steven Ward.

Tambahnya, mega tsunami ini akan bergerak beribu-ribu batu jauhnya sehingga memusnahkan kawasan pantai di Britain dan pantai timur Amerika Syarikat terutamanya Florida.

Geophysical Research Letter menjelaskan pembinaan paip air bawah tanah di sekitar kawasan itu turut menjadi salah satu punca keruntuhan bahagian barat Cumbre Vieja.

Runtuhan itu menghancurkan separuh gunung kepada cebisan batu bersaiz 500 kilometer padu sekaligus terhempas ke dalam laut dengan kelajuan 350 kilometer sejam dan setinggi 3,000 kaki (914 meter) ombak laut bakal terjadi pada awalnya.

Mega tsunami ini lebih berbahaya daripada kejadian letusan gunung berapi Anak Krakatau yang melanda Indonesia dengan libasan ombak setinggi 6-10 feet (2-3 meter) pada 22 Disember 2018 sehingga mengakibatkan beratus-ratus penduduk mati.

Namun kenyataan tersebut disangkal beberapa pakar geologi lain yang menyifatkan teori berkenaan tidak masuk akal.

Bagi Pro-Naib Canselor Universiti East Anglia, Prof. Dave Petley, “Tahap sokongan kepada hipotesis ini agak berkurangan dalam kalangan komuniti saintifik. Teori ini layak dibakulsampahkan.”

Pandangan sama turut disuarakan, Tsunami Society.

“Kami ingin hentikan khabar angin palsu ini yang didasarkan daripada laporan yang tidak berasas.

“Tiada insiden seumpamanya (mega tsunami) pernah berlaku di Lautan Atlantik atau Pasifik.”

Bekas pengarah Pusat Maklumat Tsunami Antarabangsa UNESCO, George Pararas-Carayannis menjelaskan teori itu berdasarkan “andaian silap bahawa struktur dasar laut gunung berapi Cumbre Vieja dan Kilauea amat tidak stabil dan boleh menyebabkan kemusnahan dalam masa terdekat.”

Tambahnya, runtuhan akibat gunung berapi amat jarang berlaku dan letusan Cumbre Vieja tidak akan menyebabkan ketidakstabilan tanah.

Teori itu turut disangkal pakar di Universiti Delft, Joana van Nieuwkoop, menggunakan eksperimen di makmal.

“Risiko pergerakan tanah ke dalam laut hanya ada apabila gunung berapi itu mencapai ketinggian 1 kilometer lebih tinggi daripada kedudukan asal.

“Malah jika berlaku sekalipun, ia tidak akan terhempas sekali gus ke dalam laut, tetapi dalam bentuk lapisan batuan yang menggelongsor satu persatu ke dalam laut.”

Pakar geologi di Universiti Southampton turut mengesahkan hipotesis tentang mega tsunami itu tidak berkemungkinan berlaku dan hanya digembar-gemburkan. – Astro AWANI