PUTRAJAYA — Festival Bunga dan Taman Putrajaya atau Floria Diraja Putrajaya kini adalah festival bunga dan taman yang terbesar di rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, perakuan itu adalah menerusi pengiktirafan terbaru yang diterima Floria apabila dilantik ke Council of Asia Flower Exhibitions atau CAFE yang ditubuhkan di Korea Selatan.

“Ini adalah satu penghormatan kepada Floria yang diakui sebagai festival bunga dan taman terbesar di rantau ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Floria Diraja Putrajaya 2018 di sini hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2018 dan meluangkan masa dua jam melawat festival berkenaan hari ini.

Tambah Dr Wan Azizah, usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya meletakkan Putrajaya sebagai satu daripada destinasi dalam peta festival pesta bunga-bungaan sedunia atau World Flower Show Map kini membuahkan hasil apabila Floria menerima 10 anugerah sesuai dengan sambutan ulang tahun ke-10 Floria.

Antara anugerah yang pernah diterima Floria ialah Creative Excellence Award di Melbourne International Flower and Garden Show pada 2016 dan Anugerah Emas Malaysian Tourism Council.

Floria Putrajaya berjaya menarik 300,000 pengunjung menerusi penganjuran pertamanya pada 2007 dan sentiasa mencatatkan peningkatan pengunjung dengan Floria 2016 merekodkan 826,811 pengunjung.

Hasrat Malaysia ialah menjadikan Floria setara dengan Festival Tulip Belanda di Keukenhof, Belanda setiap tahun yang menerima satu juta pengunjung dari lebih 100 negara, kata Dr Wan Azizah lagi.

Floria Diraja Putrajaya 2018 dibuka kepada orang ramai mulai hari ini hingga 2 Sept dari pukul 9.00 pagi hingga 10.30 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9.00 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Tiket dewasa bagi warganegara Malaysia (Isnin-Khamis) ialah RM12 dan (Jumaat hingga Ahad). ialah RM15. Sementara bagi kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga emas (warga Malaysia) tiket berharga RM6 (Isnin-Khamis) dan (Jumaat-Ahad) RM8. Bagi bukan warganegara tiket berharga RM24 (Isnin-Khamis) dan (Jumaat-Ahad) RM30. Diskaun 20 peratus ditawarkan untuk pembelian secara dalam talian. – BERNAMA