Turun Penarafan Fitch Cerminkan Kesan COVID-19 Ke Atas Ekonomi

KUALA LUMPUR – Keputusan Fitch Ratings menyemak turun penarafan Malaysia sebenarnya turut mencerminkan kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara dan bukan kemampuan Malaysia untuk membayar balik hutang semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Malaysia tidak pernah memiliki rekod tidak membayar hutang malah prestasi pembayaran hutang oleh Malaysia adalah amat baik.

“Keadaan ekonomi kita juga kukuh dan pelbagai, dengan purata kadar pertumbuhan pada 6.1 peratus bagi tempoh 1971 hingga 2019.

“Angka ini adalah antara tertinggi di dunia, di mana negara membangun mencapai tiga peratus pada tempoh yang sama. Ini menunjukkan pencapaian eksport dan rizab antarabangsa Malaysia berada pada tahap yang baik,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen TV1 malam tadi.

Bicara Naratif yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar kali ini mengupas tajuk Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pembangunan 2021.

Mustapa berkata bagaimanapun kerajaan mengambil iktibar daripada penurunan penarafan tersebut dan akan membaiki kedudukan kewangan negara.

Beliau berkata Malaysia telah melalui pelbagai krisis ekonomi yang serius termasuk krisis kewangan pada 1997/1998 dan 2008.

“Apabila kita menghadapi krisis kewangan, ekonomi kita akan pulih dengan cepat dan berdasarkan rekod masa lalu, kita yakin akan dapat mengulangi pencapaian ini.

“Apapun, kita perlu ambil perhatian mengenai pengurusan kewangan, tadbir urus negara dan kestabilan politik. Kerajan komited untuk memastikan negara kembali pulih,” katanya.

Pada 4 Disember lepas, Fitch Ratings telah menyemak turun Penarafan Mungkir Penerbit (IDR) Mata Wang Asing Jangka Panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ dengan prospek stabil berikutan impak krisis COVID-19 yang tidak hanya menjejaskan kredit metrik utama negara, tetapi juga negara-negara lain.

Pada masa sama, agensi penarafan antarabangsa itu turut mengiktiraf tindakan pantas pihak berkuasa menangani krisis itu dengan langkah-langkah bantuan penting untuk individu dan perniagaan yang terjejas. – BERNAMA