Firdaus Wong Puji Individu Lapor Dalang Video Zamri

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas memuji tindakan seorang kontraktor rakyat Malaysia yang membuat laporan polis berhubung video ceramah Muhammad Zamri Vinoth yang didakwa menghina agama Hindu.

Firdaus Wong Wai Hung melahirkan rasa syukur apabila dalang sebenar di sebalik video yang memainkan api perkauman itu dapat dikesan, malah diakui sendiri oleh seorang individu bernama Sasi Jo Sasi.

“Alhamdulilah. Seorang kontraktor rakyat Malaysia berbangsa India bernama Loganathan telah membuat laporan polis terhadap Sasi Ji Sasi yang mengaku memuat turun dan menyunting serta menyebarkan video ceramah Zamri Vinoth.

“Loganathan membuat laporan polis terhadap Sasi Ji Sasi kerana merasakan apa yang dilakukan individu itu seperti mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman di Malaysia walaupun beliau sendiri (Loganathan) adalah beragama Hindu,” katanya dalam posting terbarunya di akaun Facebook miliknya, semalam.

Sebelum ini, penceramah bebas Zamri Vinoth ditahan polis awal pagi 28 April lalu berikutan beberapa laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.

Beliau juga pembantu pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi.

Firdaus Wong juga berkata, Loganathan telah berjumpa sendiri dengan Muhammad Zamri dan setelah mendengar penjelasan serta konteks keseluruhan ceramahnya mendapati tiada elemen menghina dan berpuas hati dengan penerangan.

Susulan insiden itu, Firdaus Wong menggesa rakyat Malaysia agar tampil membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keharmonian agama di negara ini.

“Semoga lebih ramai rakyat Malaysia yang rasional dan logikal seperti Loganathan akan tampil membuat laporan polis terhadap individu yang sengaja mengapi-apikan sentimen agama dan perkauman.

“Bersama-sama kita pertahankan keamanan dan keharmonian negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...