Finas Perlu Bantu Semarak Industri Filem Tempatan

KUALA LUMPUR – Kejayaan filem Munafik 2, Hantu Kak Limah dan Paskal The Movie yang mencecah kutipan tiket keseluruhan hampir RM100 juta, membuktikan kemampuan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu menaikkan industri perfileman negara.

Menurut laman web Finas, Munafik 2 mendahului carta dengan kutipan RM37.72 juta, diikuti Hantu Kak Limah (RM36.23 juta), manakala filem aksi ketenteraan, Paskal The Movie, meraih RM22 juta. Ketiga-tiga filem itu ditayangkan tahun ini.

Timbalan Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Syed Zulkifli Syed Masir berkata, selain kualiti filem yang dihasilkan cukup baik, kejayaan itu pada masa sama membuktikan Finas masih relevan dalam membantu penggiat seni tempatan mempromosi karya mereka.

Lebih dikenali sebagai Syed Zul Tojo, pengarah terkenal itu berkata kejayaan filem ‘Lee Chong Wei – Rise of The Legend’ yang ditayangkan di China juga menunjukkan Finas mampu menjadi pembuka laluan untuk penggiat seni meneroka pasaran antarabangsa.

“Bagaimanapun, kejayaan ini masih belum mencukupi kerana kita mempunyai banyak lagi filem berkualiti yang tidak berjaya diangkat ke tahap sewajarnya.

“Finas seharusnya lebih agresif dalam membantu penggiat industri dan mengkaji secara lebih teliti mengapa terlalu sedikit filem kita mampu menjengah pasaran luar negara, malah untuk ke pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia pun susah,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Abdul Razak Mohaideen pula menggesa Finas memberi perhatian kepada isu dominasi syarikat besar di dalam industri filem tempatan.

“Industri kita kini seakan didominasi syarikat besar terutama pihak televisyen yang mempunyai dana besar dan memiliki strategi pemasaran meluas, sekaligus berisiko ‘membunuh’ pendatang baharu di dalam industri.

“Finas perlu meneliti perkara ini, kerana kebanyakan syarikat baharu ini mampu menghasilkan kualiti filem yang baik cuma ruang mereka untuk meneroka pasaran agak terhad akibat kekangan kewangan dan tiada bantuan sewajarnya,” katanya.

Abdul Razak turut berharap Finas menambah baik sebahagian dasar agensi itu yang dilihat sudah lapuk, mempunyai kelompongan dan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa industri.

Penerbit dan pemilik syarikat Pencil Pictures & Records Datuk Normashayu Puteh pula berkata Finas perlu membantu penggiat seni apabila melibatkan isu berkaitan Lembaga Penapisan Filem, jika mahu lebih banyak filem menembusi pasaran antarabangsa.

Menurutnya, kaedah penapisan dilakukan terlalu ketat sehingga kadangkala adegan yang terpaksa dipotong merencatkan jalan cerita dan kualiti sesebuah karya.

Normashayu juga berharap Finas dapat terus berperanan sebagai pemudah cara bagi penggiat seni menghasilkan karya-karya berkualiti. – BERNAMA

Loading...