Fikry Tak Mahu ‘Macho’ Saja, Nak Juga Watak Lain

PELAKON Fikry Ibrahim berharap diberikan peluang untuk memegang pelbagai watak supaya dapat mempelajari karakter yang berbeza.

Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 25, berkata dia bimbang sekiranya peminat mula bosan melihatnya melakonkan watak yang sama.

“Buat masa ini, saya hanya menerima tawaran watak yang lebih kurang sama sahaja. Saya okey sahaja apa tawaran yang datang.

“Tapi saya bimbang juga kalau kerap sangat berlakon karakter yang sama, peminat mula bosan.

Gandingan Fikry dan Farah Nabila menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek mendapat sambutan hangat.

“Saya berharap diberi peluang untuk cuba melakonkan pelbagai watak supaya dapat juga memperlajari benda baharu,” katanya kepada mStar Online.

Fikry sebelum ini banyak memegang karakter seorang lelaki baik, romantik dan kelakar seperti drama terbaharunya, Cik Reen Encik Ngok Ngek.

Tambah pelakon drama Hero Seorang Cinderella ini, antara watak yang diimpikan ialah antagonis.

“Saya teringin juga nak bawa watak antagonis. Watak yang tidak memerlukan saya sentiasa kelihatan macho atau terlalu kemas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fikry kini sudah mempunyai program temu bual sendiri iaitu HotSpot menerusi saluran TV2.

Fikry kini mengendali program temubual sendiri.

Kata Fikry, biarpun pada awalnya berasa takut untuk mengendali program sendiri namun dia tetap mahu melakukannya demi mencabar dirinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur diberi peluang untuk mengendali program temu bual sendiri biarpun masih baharu dalam industri.

“Sejujurnya, masa terima tawaran itu saya berasa takut tak mampu nak mengendali seorang program itu.

“Tapi kalau difikirkan takut itu, sampai bila saya tak akan dapat program sendiri. Jadi, saya terima sebab nak cabar diri sendiri,” katanya.

Program temubual yang mengupas isu semasa industri seni itu disiarkan secara langsung pada pukul 11.30 malam setiap Ahad. – mStar Online

Loading...