FGV Tidak Sedar Tindakan Syed Mokhtar

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. tidak menyedari rancangan tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk membeli sebanyak 20 peratus kepentingan dalam syarikat gergasi perladangan itu. 

Menurut FGV, pihaknya menjelaskan bahawa selepas memeriksa dengan lembaga pengarah dan pengurusan kanan, kumpulan tidak menyedari cadangan yang dijelaskan dalam artikel diterbitkan The Edge.

“FGV berusaha untuk mewujudkan nilai bagi pemegang kepentingannya dan meneroka semua peluang yang akan memberi manfaat kepada kumpulan dan para pemegang saham,” katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

FGV menjawab laporan The Edge diterbitkan pada 21 September yang memetik sumber mengatakan terdapat pelan untuk melihat Syed Mokhtar menguasai FGV. 

The Edge melaporkan bahawa pelan itu termasuk ahli perniagaan berkenaan untuk memperoleh satu blok saham FGV daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan membeli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. (KPF). – UTUSAN ONLINE

Loading...