FGV Beku Ambil Staf Baru Daripada Kontraktor Luar

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd membekukan semua pengambilan pekerja baharu daripada kontraktor luar bagi semua operasinya berkuat kuasa serta merta.

Katanya pembekuan itu hanya akan ditarik baIik apabila syarikat itu berpuas hati tanpa sangsi bahawa kontraktor mematuhi sepenuhnya semua dasar luar, garis panduan dan prosedur operasi standard FGV.

“FGV juga akan menyemak semula berkuat kuasa serta merta, manfaat yang dinikmati oleh pekerja ladangnya dan akan menyerap kos keperluan asas, termasuk bekalan makanan diberikan kepada pekerjanya.

“Kebajikan pekerja kami amat penting dan menjadi keutamaan FGV dan juga diri saya secara peribadi,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Interimnya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dapatan Panel Aduan (CP) Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang menunjukkan FGV perlu menambah baik proses pengambilan dan penggajian pekerja.

Badan persijilan minyak sawit dunia itu menyatakan FGV didakwa terbabit dalam buruh paksa dan amalan tidak beretika yang melanggar undang-undang buruh Malaysia dan antarabangsa.

Azhar berkata kakitangan FGV merupakan tulang belakang syarikat dan sumbangan mereka tidak ternilai.

“Kami mesti dan akan melayani pekerja kami secara adil dan saksama, tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata untuk mengelakkan perpindahan pekerja sedia ada yang sudah dikontrakkan kepada FGV menerusi pihak ketiga, syarikat berjanji akan berunding dengan pihak berkepentingan relevan untuk secara langsung menggaji pekerja ini seboleh mungkin dan rundingan itu akan melibatkan majikan pekerja ketika ini dan kerajaan Malaysia.

“Kebajikan pekerja kontrak asing kami akan terjamin sekiranya mereka dapat diletakkan di bawah penyata gaji kami. Bagaimanapun, FGV perlu mematuhi undang-undang dan prosedur, tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik”.

Menurutnya, syarikat itu akan mengambil langkah segera untuk menangani semua isu dibangkitkan oleh CP RSPO secepat mungkin.

“RSPO ialah pihak berkepentingan amat penting dan FGV komited untuk mematuhi sepenuhnya prinsip dan kriterianya. Kami sebuah syarikat yang bertanggungjawab, dibina atas warisan pembangunan mampan, yang telah membantu meningkatkan ekonomi dan mobiliti sosial beribu-ribu pekebun kecil.

“FGV sedang menyemak semula dan jika perlu mengkaji semula, semua bahan komunikasi dan program latihan bagi pekerja, terutamanya dari segi terma penggajian mereka, perlindungan ke atas pemberi maklumat dan prosedur kesihatan & keselamatan. FGV juga akan berbincang dengan pihak ketiga yang bebas untuk melatih pekerja mengenai dasar hak asasi manusia,”katanya.

Berhubung dapatan bahawa syarikat melakukan penyumberan luar pekerja asingnya kepada kontraktor luar, katanya FGV telah memulakan penyiasatan terhadap perkara itu.

“Seperti dinyatakan oleh CP RSPO, amalan seumpama itu adalah salah di sisi undnag-undang dan FGV memandang serius dapatan ini,” katanya dan menurutnya ia akan memberi respons secara terus kepada CP RSPO dan komited memberikan laporan terkini yang akan disiarkan dalam laman webnya.

Azhar juga mengambil perhatian bahawa FGV pada akhir 2017 telah memberikan komitmen RM300 juta untuk menambah baik kemudahan perumahan bagi pekerja ladangnya dan usaha itu sedang dilaksanakan.

“Kami akan menyegerakan penyiapan kerja itu, kerana rumah pekerja menjadi keutamaan FGV,” katanya.

FGV menubuhkan Pejabat Transformasi pada Jun 2018 untuk menangani beberapa isu yang menjejaskan prestasi operasinya.

Apabila proses penambahbaikan yang dirancang dilaksanakan, pekerja juga boleh mengesahkan bayaran pampasan mereka dengan tepat, kata syarikat itu. – BERNAMA

Loading...