Felda Kemuka Petisyen Bantahan Pihak EU 16 Januari

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menghantar kira-kira 100,000 tandatangan peneroka kepada Pejabat Delegasi Kesatuan Eropah (EU) di sini pada 16 Januari ini sebagai bantahan terhadap cadangan blok itu menyekat kemasukan minyak sawit ke pasarannya.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata setakat ini, Felda berjaya mengumpul 65,000 tandatangan dan yakin dapat mencapai sasaran 100,000 menjelang Selasa depan.

“Bantahan akan dibuat di Pejabat Delegasi EU dan juga 26 kedutaan negara anggota EU, menjadikan kesemua 27. Kita akan menghantar petisyen tersebut secara serentak (pada 2.30 petang) dan dipimpin oleh ketua-ketua peneroka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, para peneroka Felda dan pekebun kecil perlu bersama-sama menyuarakan​​​​​​ bantahan terhadap cadangan yang dibuat Parlimen EU bagi menyekat pengimportan minyak biodiesel sawit.

Ini kerana tindakan pihak EU itu akan menjejaskan pendapatan golongan peneroka dan pekebun kecil, katanya.

Pada April 2017, Parlimen Eropah telah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.

Mengulas mengenai isu ini, Shahrir berkata, dakwaan mengatakan penanaman sawit Malaysia tidak lestari merupakan satu tuduhan yang tidak berasas.

Beliau berkata, ini kerana penanaman komoditi tersebut di Malaysia telah merangkumi aspek kelestarian termasuk dari segi ekonomi serta alam sekitar kawasan penanaman kelapa sawit.

“Antara Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) EU adalah keupayaan untuk mengeluarkan rakyat luar bandar daripada kemiskinan dengan cara pertanian. Oleh yang demikian, dengan penyekatan kelapa sawit ke benua tersebut, (tindakan) Eropah telah dilihat bertentangan dengan SDG-nya sendiri,” katanya.

Shahrir berkata, Felda amat mengambil berat mengenai kelestarian produk mereka.

Sebelum ini dilaporkan Felda akan memastikan 120,000 penerokanya mematuhi Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO) yang akan diwajibkan kerajaan berkuat kuasa 31 Disember, 2019.

Sistem tersebut dilihat dapat memastikan kualiti minyak sawit yang dikeluarkan Malaysia tidak diubah atau disekat melalui sekatan atau halangan dari negara yang cuba memboikot minyak sawit terutama EU.

Pada 2018, Felda turut mensasarkan untuk mengesahkan pensijilan bagi lapan kompleks kilang dan lebih 30 buah kompleks kilang diaudit oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan MSPO.

Sementara itu, Shahrir berkata pada 2017, Felda telah mengagihkan lebih kurang RM558.14 juta kepada peneroka Felda.

Jumlah itu termasuk pembayaran insentif sebanyak RM5,000 kepada lebih kurang 90,418 peneroka. Insentif tersebut merupakan antara enam insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Julai 2017.

Antara insentif lain adalah dalam bentuk pelupusan hutang, penubuhan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

“Pembayaran insentif ini sudah bermula di wilayah Johor Baharu dan wilayah Segamat,” katanya. – BERNAMA

Loading...