FB Pos Malaysia Dihujani Pertanyaan Berkaitan Pos Senjata

KUALA LUMPUR – Facebook rasmi Pos Malaysia Berhad dihujani pertanyaan sama ada pengguna boleh menggunakan perkhidmatan pos biasa untuk menghantar barangan berbentuk senjata seperti parang.

Ini berikutan seorang pembantu politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menerima ugutan melalui sampul surat mempunyai setem yang telah dicop dan didalamnya mengandungi sebilah keris kecil daripada individu yang tidak dikenali.

Antara pertanyaan dikemukakan adalah daripada seorang pengguna Facebook bernama Adie Dassler.

“Hi Pos Malaysia. Ini pertama kali saya membuat pertanyaan. Nak tanya boleh tak saya pos parang ke kampung menggunakan pos biasa? Letak setem?

“Sebab hari itu dalam media ada nampak seseorang menerima kiriman keris guna pos biasa. Sekurang-kurangnya boleh menjimatkan kos,” tanya beliau.

Soalan tersebut dijawab oleh pentadbir Facebook Pos Malaysia Berhad yang menegaskan senjata dan barangan berbahaya dilarang sama sekali untuk dihantar menggunakan perkhidmatan pos.

“Hi Adie Dassler terima kasih di atas pertanyaan anda. Tidak. Untuk makluman parang dan senjata berbahaya adalah barangan larangan untuk pengeposan.

“Pengeposan item seperti berikut akan ditahan dan dirampas. Untuk maklumat lanjut sila rujuk pautan berikut,” jawap Pos Malaysia Berhad.

“Terima kasih banyak Pos Malaysia Berhad untuk info yang diberikan. Saya tak jadi kirim parang ke kampung untuk kerja-kerja pembersihan kebun durian,” tulis Adie Dassler.

Selain Adie Dassler beberapa pengguna Facebook turut melontarkan soalan yang hampir sama ialtu bolehkan senjata dikirim melalui perkhidmatan pos.

Pada 20 Ogos lalu pembantu politik ADUN Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali, disyaki ada kaitan dengan kempen membantah tulisan jawi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 42 tahun itu pada 5.15 petang yang menerima sampul surat dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Beliau berkata, pembantu ADUN itu tidak pasti atau mengenali individu yang menghantar sampul surat itu kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan. – UTUSAN ONLINE

Loading...