Fasha Sandha Nikahi Aidil Penghujung Mac

KUALA LUMPUR – Dramatis popular, Fasha Sandha mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Aidil Aziz, 32, pada penghujung Mac ini.

Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, berkata, majlis nikah dan bersanding bakal diadakan di Perlis.

Manakala majlis bagi sebelah lelaki pula berlangsung di Rembau, Negeri Sembilan.

“Saya memilih Perlis kerana menghormati permintaan ibu saya dan majlis nikah tersebut akan diadakan di masjid. Untuk majlis di sebelah lelaki pula, perancangannya pada April dan dijangka akan dihadiri 5,000 tetamu.

“Kami tidak akan berahsia. Insya-Allah, saya akan berkongsi lanjut dan menjemput rakan media untuk hadir,” katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh di Kapar, Kelang, Selangor semalam.

Dalam pada itu, Fasha mengakui masih belum membuat sebarang persiapan untuk majlis perkahwinannya.

“Macam sekarang, saya masih sibuk berlakon dan penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Paruh dijangka tamat pada 18 Februari. Kemudian, saya ada projek lain yang menanti.

“Ada dua bulan lagi sebelum majlis berlangsung. Sejujurnya, saya belum ada sebarang persiapan. Berbanding Aidil, dia sudah buat sedikit demi sedikit seperti beli kain untuk keluaganya. Perancang perkahwinan sudah dilantik, tetapi saya belum ada masa untuk berjumpa dan berbincang. Saya mahu selesaikan dahulu soal kerja baru boleh fikir mengenai majlis kahwin,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 18 November 2018.

Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia lima tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4. – K! ONLINE