Farid Kamil Dibenar Tangguh Hukuman

SHAH ALAM – Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan yang dijalaninya ketika ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, sebentar tadi.

Farid Kamil, 38, sudah menjalani hukuman itu selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.

Dalam keputusannya itu, Ab Karim turut memerintahkan suami Diana Danielle dijamin dengan RM10,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Dalam prosiding hari ini, hanya adik Farid, Fadzil yang hadir dan membayar wang jaminan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Farid Kamil melahirkan kesyukuran dengan keputusan itu.

“Insya-Allah, semuanya Allah permudahkan,” katanya. – BH Online