Fama Tidak Terima Aduan Sayur Guna Racun Haram

SUNGAI PETANI – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai sayur-sayuran yang dijual di pasar tani di bawah seliaan lembaga itu terdedah dengan penggunaan racun perosak tidak berdaftar serta tidak selamat.

Pengarah Kanan (Galakan Pasaran Dalam Negara dan Pemasaran Online) Fama, Mohamad Mustahapa Awang, bagaimanapun berkata pihaknya akan memberi perhatian kepada perkara itu dengan penguatkuasaan Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (GPL) terhadap hasil keluaran pertanian yang akan dijual nanti.

“Kami mengguna pakai GPL terhadap hasil pertanian yang masuk untuk dijual, dengan cara melalui GPL kita boleh tahu bekalan sayur-sayuran ini datang dari mana, siapa petaninya, dan jika berlaku apa-apa, misalnya sayur-sayuran ini dikesan ada guna bahan racun perosak tidak selamat, kita boleh ambil tindakan segera,” katanya pada sidang media sempena FAMAFEST 2018 Wilayah Utara di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media baru-baru ini, berhubung penjualan racun perosak tidak berdaftar atau berstatus haram dikesan semakin berleluasa di seluruh negara yang boleh dibeli melalui pasaran gelap.

Selain itu, Mohamad Mustahapa berkata Fama juga sedia bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian memeriksa sampel sayur-sayuran yang dijual di pasar tani untuk diuji bagi memastikan hasil pertanian bebas daripada penggunaan racun perosak tidak berdaftar sekali gus selamat dimakan.

“Jabatan Kesihatan boleh uji sampel-sampel sayur ini, dan sekiranya ada petani didapati guna racun perosak tidak berdaftar, Jabatan Pertanian boleh ambil tindakan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada,” katanya.

Mengenai FAMAFEST, beliau berkata 200,000 pengunjung dijangka mengunjungi festival yang akan berlangsung selama empat hari bermula 23 Disember depan di Pusat Operasi FAMA, di sini.

Beliau berkata 88 usahawan menyertai festival itu dengan nilai hasil jualan produk disasarkan mencapai RM1 juta.

Selain itu, Mohamad Mustahapa berkata program tersebut turut memfokuskan kepada memasarkan sumber kekayaan baharu melibatkan produk bernilai tinggi seperti durian, nanas, jagung, kelapa dan tenusu.

“Ada juga jualan anak pokok ‘Musang King’, dan pada 24 Disember kita adakan kursus penanaman dan pemasaran ‘Musang King’,” katanya. – BERNAMA

Loading...