FAMA Sasar 1,000 Pasar Tani Menjelang 2020

JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang mewujudkan sehingga 1,000 tapak pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Datuk Mat Sani Hassan berkata pada masa ini terdapat 735 pasar tani di seluruh negara.

“Tiada masalah untuk kita (FAMA) mewujudkan lebih banyak lagi pasar tani di seluruh negara sekiranya pengusaha-pengusaha memang berminat untuk membuka lebih banyak lagi pasar tani ini.

“Kita juga memang ada peruntukan daripada kerajaan untuk menyediakan peralatan kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan tani cuma masalah sekarang hanyalah ketiadaan tapak untuk pasar tani beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Pasar Tani Bersih di Pasar Tani Perling Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata usahawan tani yang berminat akan diberi pendidikan ataupun kursus untuk memastikan kesemua mereka lebih berdisiplin semasa berniaga.

Menurut Mat Sani, jualan pasar tani di seluruh negara juga boleh mencapai RM1.5 bilion hingga RM2 bilion setahun di seluruh negara.

“Kalau kita tengok, di Johor ini sahaja pendapatan jualan mencecah RM65 juta setahun dengan hanya 65 tapak pasar tani,” katanya.

Johor merekodkan bilangan pasar tani terbanyak dengan 65 diikuti Selangor sebanyak 64.

Kempen Pasar Tani Bersih yang dilancarkan hari ini adalah satu inisiatif FAMA untuk meningkatkan tahap kebersihan dan nilai estetika sesebuah pasar tani. – BERNAMA

Loading...