Fahami Perkara Tersirat Politik – Abdul Hadi

KUANTAN – Ahli PAS diminta memahami perkara tersirat dalam politik membabitkan tahaluf siyasi dan ta’awun yang dimeterai dengan UMNO dan parti bukan Islam tidak ekstrem seperti MIC dan MCA.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selepas PRU14, negara menghadapi krisis kesefahaman politik berikutan pimpinan negara yang didominasi oleh parti ekstrem yang jelas menunjukkan sikap melampau terhadap Islam.

Menurutnya, menerusi suasana politik itu, Pakatan Harapan (PH) kini didominasi golongan ekstrem yang berani membuat kenyataan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja.

“Ini berlaku kerana krisis politik dalam masyarakat. Apabila marahkan UMNO kelambu dibakar sehingga 90 peratus pengundi bukan Islam mengundi PH, 30 peratus pengundi muda membuat pilihan salah menyebabkan jatuhnya kerajaan BN.

“Kita juga tidak setuju dengan BN, tetapi tidak mahu mudarat yang besar apabila berlaku perubahan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS ke-59 di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City (BGRC) hari ini.

Jelasnya, disebabkan itu, PAS memperkenalkan politik Islam seperti bertahaluf dan berta’awun dengan orang Islam dan bukan Islam yang boleh berbincang serta berbicara.

Abdul Hadi berkata, penting untuk setiap ahli PAS berpegang teguh kepada konsep wala’ atau kesetiaan terhadap pemimpin dan memahami usaha dilakukan demi kesejahteraan negara dan rakyat. – Sinar Harian

Loading...