Facebook Mohon Maaf

SUSULAN insiden laman Facebook, Instagram dan WhatsApp yang mengalami masalah gangguan teknikal malam tadi, syarikat rangkaian sosial Facebook mengeluarkan kenyataan khas berhubung isu berkenaan.

Menerusi kenyataan Facebook, ketiga-tiga laman dan aplikasi itu sudah kembali normal dan pihaknya juga tampil memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami semua penggunanya.

“Sebelum ini, orang ramai dan syarikat perniagaan mengalami masalah memuat naik atau menghantar imej, video dan fail lain pada aplikasi dan platform kami.

“Isu ini telah diselesaikan dan kami memberi jaminan seratus peratus kepada semua untuk kembali ke laman kami. Kami minta maaf atas sebarang kesulitan,” kata syarikat rangkaian gergasi itu menerusi satu entri terbaharu di laman Twitter iaitu https://twitter.com/facebook.

Sementara itu, memetik laporan Awani, semakan di laman Down Detector mendapati, Instagram mendapat 1,481 aduan, manakala Facebook (483 aduan) dan WhatsApp (254 laporan) yang meningkat dari semasa ke semasa.

Difahamkan, masalah gangguan teknikal ini berlaku di seluruh dunia.

Selain Malaysia dan Indonesia, negara lain yang turut mengalami laporan paling tinggi terjejas ialah timur Amerika Syarikat, Eropah dan Brazil. – Agensi

Loading...