Facebook Lancar Logo Baharu Syarikat

SACARAMENTO – Facebook Inc. semalam mengumumkan logo baharu syarikat itu bertujuan untuk membezakan dengan aplikasinya.

Syarikat media sosial gergasi itu memaklumkan, ia akan mula menggunakan jenama baharu tersebut dalam produk dan bahan pemasarannya serta bakal mengemas kini laman web Facebook for Business dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran, Antonio Lucio, penjenamaan baharu itu akan turut dicop pada aplikasi WhatsApp, Messenger, Instagram, Oculus, Workplace, Portal dan Calibra.

“Hari ini, kami mengemas kini penjenamaan syarikat ini untuk memperjelaskan tentang produk yang dihasilkan Facebook.

“Logo korporat baru ini adalah cara untuk menyampaikan dengan lebih baik tentang struktur pemilikan kepada orang ramai dan perniagaan yang menggunakan perkhidmatan kami untuk saling berhubung,” jelasnya.

Langkah itu dibuat selepas Facebook kini berdepan pengawasan yang ketat oleh pengawal selia di seluruh dunia tentang bagaimana ia memantau kandungan yang terdapat pada platformnya. – Agensi

Loading...