EXCO Johor Dilantik Dalam Tempoh Seminggu – Hasni

JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Johor yang baharu akan dilantik dalam tempoh seminggu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Mazlan Bujang dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein.

Katanya, beliau akan menyediakan senarai EXCO yang lengkap sebelum memohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon perkenan baginda dalam tempoh terdekat.

“Komposisi barisan EXCO Johor yang baharu akan mewakili komposisi rakyat Johor.

“Kita akan pertimbang dan bahagikan dengan adil walaupun PAS hanya ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor.

“Buat masa ini, gabungan kerajaan Johor akan dikenali sebagai Gabungan Baharu buat sementara waktu,” katanya pada sidang media di Hotel Mutiara, di sini hari ini.

Turut hadir Mazlan Abdullah, selain ADUN Barisan Nasional (BN) dan penyokong.

ADUN Benut, Datuk Hasni Mohammad sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar jam 5.09 petang tadi.

Hasni, 61, adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor selain Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.

Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Rabu lalu, Sultan Johor bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka ekoran keluarnya BERSATU daripada Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.

Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018.

Sementara itu, Hasni berkata, kerajaan Johor yang baharu ditubuhkan dengan majoriti mudah dengan Gabungan Baharu – 28 berbanding Pakatan Harapan – 26.

“Saya ingin tegaskan, lantikan ini berpunca daripada kejatuhan PH, bukan menerusi apa yang didakwa kerajaan pintu belakang. Ini bukan perbuatan berpunca daripada kita.

“Pelantikan ini juga adalah hak mutlak Sultan Johor bagi menjaga kepentingan negeri dan rakyatnya.

“Kita juga akan terus menghormati demokrasi dalam negara kerana krisis berpanjangan hanya akan menyebabkan kesan negatif kepada ekonomi.

“Kini tanggungjawab kami (Gabungan Baharu) untuk lakukan yang terbaik buat negeri dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus memaju dan memakmurkan negeri dengan hala tujunya akan diumumkan dalam masa terdekat. – BH Online

Loading...