Euro 2020: Rekod Itali 90 Tahun Lebur

LONDON – Itali mencipta sejarah baru dalam bola sepak mereka apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan berturut-turut ketika menewaskan Austria 2-1 dalam saingan 16 terakhir di Euro 2020, pagi semalam.

Itali mendominasi saingan peringkat kumpulan dan dijangka mudah menewaskan Austria namun perlu menunggu selepas lima minit masa tambahan untuk berada di depan menerusi gol Federico Chiesa.

Matteo Pessina memastikan Azzurri melangkah ke suku akhir namun Austria mencetuskan debaran apabila merapatkan jurang menerusi Sasa Kalajdzic namun sudah terlambat menafikan kemenangan Itali.

Kemenangan itu bermakna Roberto Mancini berjaya membimbing Itali mengharungi 31 perlawanan tanpa tewas sekali gus memecahkan rekod dilakar pengendali Vittorio Pozzo ketika era 1930-an.

Mereka memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 menewaskan Turki, Switzerland dan Wales di Rom tanpa dibolosi sebarang gol.

Mancini melakukan tujuh perubahan untuk pasukannya yang menewaskan Wales dengan Marco Verratti menjadi pilihan dan bukannya Manuel Locatelli di bahagian tengah manakala Giorgio Chiellini sekali lagi diketepikan kerana kecederaan hamstring.

Mancini berkata, Itali berhak untuk layak ke suku akhir Kejohanan Eropah itu selepas menampilkan penguasaan sebelum perlawanan terpaksa diheret hingga ke masa tambahan.

“Kami memperoleh keputusan ini kerana memang berhak memenanginya. Pada separuh masa pertama kami berpeluang menjaringkan beberapa gol dan kemudian selepas rehat prestasi mula menurun.

“Kami menang kerana pemain yang tampil pada perlawanan ini mempunyai fokus yang tepat dan dapat menyelesaikan keadaan.

“Saya sedar ia perlawanan yang sukar malah mungkin lebih sukar aksi di suku akhir nanti,” kata Mancini. – Agensi