Etnik Rohingya Berselindung Di Pulau Sempadan Sebelum Masuk

LANGKAWI – Peratusan pendatang tanpa izin (PATI) etnik Rohingya menyusup masuk ke negara ini melalui laut adalah sangat tinggi berikutan sempadan perairan negara hanya 2.5 batu nautika dengan pulau di sempadan Thailand.

Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Abd Hamid Ali, berkata ini berikutan pulau-pulau negara jiran yang terdekat dengan perairan negara adalah antaranya Pulau Tarutao, Koh Lipe dan Pulau Koh Adang.

“Pulau-pulau berkenaan mempunyai persempadan negara yang kecil dari Pulau Langkawi dan pulau ini dipercayai menjadi tempat mereka berselindung sebelum menceroboh masuk ke perairan negara ini.

“Oleh itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin sentiasa bertugas siang dan malam bagi mengawai sebarang pencerobohan,” katanya kepada Bernama dalam liputan eksklusif media bersama Pasukan Petugas Kebangsaan, di sini.

Abd Hamid berkata pihaknya mempunyai tiga sektor (pejabat operasi) yang mengkoordinasi dan mengawasi sempadan perairan negara di Pulau Langkawi daripada diceroboh oleh PATI.

“Sektor pertama adalah APMM, sektor kedua adalah polis marin dan sektor ketiga adalah TLDM yang masing-masing mempunyai komandernya sendiri untuk lapor sebarang kegiatan kemasukan pendatang tanpa izin di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata penugasan koordinasi bersama ketiga-tiga agensi penguatkuasa berkenaan adalah lebih mudah walaupun ia dikoordinasikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah lebih terjamin khususnya dalam Op Benteng.

Ditanya mengenai cabaran dalam mengekang kemasukan PATI, Abd Hamid berkata antara cabaran besar adalah keterlibatan orang awam yang menjadi dalang kegiatan penyeludupan PATI etnik Rohingya.

“Dalam menentukan keselamatan perairan negara ini terjamin sepenuhnya, pihak kami bekerjasama dengan komuniti maritim yang sentiasa melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada kemasukan PATI di perairan negara.

“Sebelum ini, beberapa kes kemasukan PATI di perairan negara berjaya dihalang atas makluman awal komuniti maritim,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Hamid menegaskan bahawa pihak berkuasa sedang mengawasi tekong darat dan laut yang terbabit secara langsung atau bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

Sementara itu, diminta mengulas tangkapan 269 warga Rohingya di perairan Langkawi baru-baru ini, beliau berkata ujian saringan COVID-19 terhadap mereka didapati negatif.

“Mereka (PATI) tidak didedahkan kepada rakyat tempatan Pulau Langkawi malah tiada risiko jangkitan COVID-19 kepada anggota bertugas ketika mengendalikan mereka kerana anggota telah dilengkapi dengan pakaian perlindungan selengkapnya,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, Bernama melaporkan seramai 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan oleh pihak berkuasa dan menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki mereka. – BERNAMA

Loading...