‘Equanimity’ Akan Dijual Sebelum Akhir Mac 2019

KUALA LUMPUR – Sherif Mahkamah Admiralti akan mendapatkan perintah mahkamah untuk memulakan fasa kedua penjualan kehakiman melalui triti persendirian kapal pesiaran mewah ‘Equanimity’ untuk memuktamadkan penjualan sebelum 31 Mac 2019.

“Harga sembilan angka yang diminta akan dimaklumkan atas permohonan, sebaik sahaja kelulusan mahkamah diperoleh,” demikian menurut kenyataan daripada pasukan perundangan mewakili kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua anak syarikatnya.

“Sherif Mahkamah Admiralti berpendapat dengan meneruskan peringkat kedua proses penjualan kehakiman akan memberi manfaat dalam mendapatkan nilai optimum bagi Equanimity,” menurut kenyataan itu merujuk kepada kapal mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low,

Pada 24 Ogos lepas, Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur memerintahkan penjualan Equanimity.

Sebagai sebahagian daripada proses penjualan kehakiman, tawaran bidaan Equanimity telah dibuka pada 29 Okt 2018, ​​​​​​secara bidaan tertutup melalui Burgess, broker pusat yang dilantik oleh mahkamah.

Menurut kenyataan itu, proses penjualan kehakiman berkenaan dibuka selama sebulan, dan telah menarik minat banyak pihak untuk membeli kapal mewah tersebut​​​​​​​.

Publisiti dan iklan meluas untuk jualan, melalui pelawaan tender awam secara bidaan tertutup, merupakan aspek penting dalam proses penjualan kehakiman untuk pemindahan hak milik kepada pembeli, menurut kenyataan itu.

Sherif Mahkamah Admiralti kini mempertimbang pelbagai aspek tawaran yang diterima pada tarikh akhir pengemukaan bidaan pada 28 Nov, 2018. – BERNAMA

Loading...