Equanimity Dijual Pada Harga Ratusan Juta Ringgit

KUALA LUMPUR – Kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low akan dijual sebelum 31 Mac 2019 dengan nilai mencecah sembilan digit.

Peguam S Sitpah yang mewakili kerajaan dan tiga lagi berkata demikian melalui kenyataan yang diperoleh media selepas pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi (Admiralti). Datuk Khadijah Idris di sini, hari ini.

“Mahkamah kini sedang meneliti pelbagai aspek berhubung tawaran yang diterima selepas bidaan ditutup pada 28 November lalu.

“Fasa mandatori penjualan sudah dilakukan, kini kita sedang menunggu arahan daripada mahkamah untuk memuktamadkan jualan kapal itu.

“Tawaran harga sembilan digit dibuat dan jika mahkamah merasakan harga yang ditawarkan berpadanan dengan nilai kapal berusia empat tahun setengah itu, kebenaran menjual akan diberikan,” katanya.

Sebelum ini, Sitpah memberitahu bahawa pembida dan nilai tawaran yang dikemukakan untuk pembelian kapal itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Pada 24 Ogos lalu mahkamah sama membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya, Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited untuk jual Equanimity.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan.

Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu apabila pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia selepas dirampas di Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada penyiasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan AS ke atas 1MDB. – BH Online

Loading...