Enjian Carian Patuh Syariah Pertama Dunia Dilancar

BERSEJARAH… Salam Web Technologies MY Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan enjin carian pertama patuh syariah di dunia iaitu SalamWeb.

Diiktiraf oleh Lembaga Penyeliaan Syariah Amanie dan Miyar Ekonomi Digital Islam, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), enjin carian ini memperkenalkan pelbagai rangkaian perkhidmatan internet kepada pengguna.

Antaranya seperti SalamWeb Browser, Salam News, Salam Chat dan Salam Sadaqah yang dilengkapi dengan persekitaran dalam talian yang dijamin sebagai bebas dan selamat dari segi isu keselamatan siber.

Pengarah Urusan syarikat itu, Hasni Zakaria berkata, SalamWeb bertujuan perkasa umat Islam dalam bantu mereka jalani kehidupan digital yang selaras dengan nilai dan kepercayaan bersesuaian dengan cara hidup.

“Misi kami adalah untuk beri kuasa kepada para pengguna Muslim bagi bina satu ummah digital yang berpandukan kepada syariah serta bantu mereka dalam pencarian kandungan yang selamat.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan global bagi pastikan produk kami selari dengan nilai Islam dan bernaung dalam gaya hidup Islam yang moden,“ katanya semasa majlis pelancaran di ibu negara hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Amanie, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar; Naib Presiden MDEC, Norhizam Abdul Kadir dan individu berpengaruh media sosial tempatan, Caprice.

Menurut Hasni, SalamWeb juga mempunyai aplikasi digital yang boleh dimuat naik menerusi Google Play bagi pengguna Android dan di App Store bagi pengguna Apple. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...