Empat Sekeluarga Antara 55 Ditahan Terbabit Dadah

KOTA BHARU – Empat sekeluarga antara 55 yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Op Kijang di beberapa jajahan yang bermula pada Jumaat hingga malam tadi.

Penolong Pengarah Penguatkuasaannya Aman Mustafa berkata empat sekeluarga itu ditahan dalam satu serbuan di Kampung Telong, Bachok.

“Mereka membabitkan suami isteri berusia 43 dan 40 tahun, anak lelaki mereka (20 tahun) dan menantu lelaki mereka (29).

“Ketua keluarga berkenaan sebelum ini di bawah pengawasan AADK dan telah tamat pengawasan beberapa bulan lepas namun kembali menjadi penagih dadah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di sini, malam tadi.

Beliau berkata AADK turut merampas selaras senapang angin buatan sendiri dan 3.1 gram heroin milik seorang lelaki berusia 45 tahun di Tumpat.

“Selain itu, dalam serbuan berasingan di sekitar Tumpat, kita turut menemui 163 pil kemerahan disyaki pil kuda, 45 liter air ketum dan 40 bungkus daun ketum.

“Kesemua kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya sepanjang operasi dua hari di Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok itu, AADK Kelantan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 71 individu berusia 18 hingga 50 tahun.

Daripada jumlah itu, 48 dikesan positif metamfetamina dan tujuh lagi positif opium, katanya, menambah mereka ditahan menurut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Loading...