Empat Pendaki Maut Cuba Tawan Nevado Mateo

LIMA – Tiga pendaki gunung dari Sepanyol dan jurupandu tempatan terbunuh ketika mendaki puncak bersalji di Andes, kata pihak berkuasa negara itu semalam.

Kumpulan lima pendaki itu cuba menakluk gunung Nevado Mateo setinggi 5,150 meter di banjaran Andean Cordillera Blanca apabila menemui ajal, Ahad lalu, kata pihak berkuasa di kawasan Ancash.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat seorang lagi pendaki, iaitu satu-satunya anggota kumpulan itu yang terselamat.

“Siasatan mendapati kemalangan berkenaan diakibatkan oleh cuaca, berkemungkinan besar akibat runtuhan ais,” kata pendakwa di pekan Carhauz, Marcos Espinal.

Menurut Espinal, sepasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mayat keempat-empat mangsa.

Bahagian bawah gunung itu membentuk glasier di sepanjang laluan pendakian yang lazimnya mengambil masa kira-kira lima jam.

“Ia adalah satu kawasan sukar dan berisiko disebabkan oleh faktor cuaca seperti kabus tebal serta hujan,” katanya.

Seorang pendaki gunung dari Jerman maut pada tahun 2016 ketika cuba mendaki gunung yang sama. – Agensi

Loading...