Emir Qatar Lakukan Lawatan Kerja Ke Malaysia

PUTRAJAYA – Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dijadual bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa melakukan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini hingga 7 Dis.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata lawatan tersebut menandakan pertemuan rasmi yang pertama antara Sheikh Tamim dan Dr Mahathir sejak peralihan kerajaan pada Mei tahun ini.

“Ia memberikan peluang terbaik untuk kedua-dua pemimpin membincangkan perkara-perkara dua hala, serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa demi kepentingan bersama,” kata Wisma Putra.

Semasa berada di negara ini, Sheikh Tamim juga akan menghadiri majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamim ketiga di Putrajaya pada Jumaat.

Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang cemerlang dalam bidang Pencapaian Sepanjang Hayat/Cemerlang; Inovasi; Kreativiti dan keterlibatan Belia serta Penyelidikan Akademik dan Pendidikan.

Sheikh Tamim yang menaiki takhta pada 2013 sebagai Emir Qatar kelapan telah melakukan lawatan sulung ke Malaysia pada Oktober tahun lepas (2017). – BERNAMA

Loading...