Elfira Loy Sembunyi Pertunangan Atas Permintaan Keluarga

PELAKON Elfira Loy menjelaskan dia tidak menghebahkan majlis pertunangannya dengan jejaka bernama Faris pada 2 September lalu bagi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak keluarga.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy, 24, berkata, keluarga meminta mereka menjalankan majlis secara sederhana dan dihadiri keluarga terdekat sahaja.

“Saya tidak ada niat merahsiakan sebaliknya ia adalah permintaan keluarga kami yang mahu ia dijalankan tanpa sebarang liputan media.

“Entah bagaimana ia juga terlepas dan ada yang sebarkan foto pada hari berkenaan, Alhamdulillah mereka tidak ralat dengan perkara itu,” ujarnya kepada mStar Online.

Elfira ditemui di majlis pelancaran kempen AirAsia #Throughthelens di Nathalei Gourmet I’Espace, Petaling Jaya.

Elfira bersama tunangnya Faris.

Pada awal September ini Elfira dilaporkan satu majlis merisik dan bertunang secara tertutup diadakan di kediamannya yang terletak di Alam Damai, Kuala Lumpur.

Namun tiada pihak mengesahkannya termasuklah ahli keluarga.

Hubungan Elfira yang mesra disapa El dengan lelaki berkenaan mula dihidu beberapa bulan lalu apabila dia memuat naik foto bersama.

Dalam pada itu, Elfira berkata, selepas melalui pengalaman pahit pada pertunangan sebelum ini, dia memilih untuk mengadakan majlis istimewa itu secara sederhana.

“Dulu saya akui terlalu teruja kerana pengalaman bercinta kali pertama dan majlis dibuat secara besar-besaran.

“Kali ini biarlah sederhana sahaja dan yang penting ia berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, Elfira berkata, dia masih belum bersedia untuk mendedahkan tarikh sebenar majlis pernikahannya yang kemungkinan berlangsung pada tahun depan.

Katanya, dia dan pasangannya baharu sahaja menjalani kursus perkahwinan dan belum membuat sebarang persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

“Tarikh kahwin dalam hati saya, siapa boleh baca hati saya mesti dia dapat agak,” ujarnya.

Sebelum ini, Elfira pernah bertunang dengan penyanyi, Sufian Suhaimi pada 6 Oktober 2017 namun hubungan tersebut terputus secara rasmi pada 18 Februari lepas. – mStar Online

Loading...