Elfira Loy Diijab Kabul Pagi Tahun Baharu

TAHNIAH… Pelakon wanita kecil molek, Elfira Loy kini bergelar isteri kepada Khairol Faris Anuar.

Selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan, pasangan itu selamat diijabkabulkan pagi tadi. Khabar gembira itu dikongsi sendiri oleh Elfira menerusi catatan dalam akaun sosial Instagramnya.

Elfira, 24 tahun, sebelum ini tidak menguar-uarkan tentang hubungannya dengan Khairol Faris selepas putus tunang awal tahun lalu dengan seorang penyanyi tempatan terkenal.

Hanya kebelakangan ini, Elfira mula berkongsi gambar-gambarnya dengan Khairol Faris, termasuk ketika beliau menghadiri majlis perkahwinan selebriti Indonesia, Baim Wong.

Adik Elfira, Ezlisa Loy juga berkongsi beberapa video menerusi InstaStory pada pagi 1 Januari yang merakam detik indah majlis berinai kakaknya tersebut.

Ezlisa kemudian memuat naik gambar Elfira dalam gaun serba putih di atas pelamin bertemakan taman.

Beberapa portal tempatan melaporkan selain majlis nikah, pasangan itu akan mengadakan majlis jamuan pada setiap hujung minggu pada bulan ini.

Media tempatan juga difahamkan Elfira memilih beberapa pereka fesyen terkenal Malaysia untuk menghasilkan busana perkahwinannya termasuk Rizman Ruzaini. – Agensi

Loading...