Elaun Khas Bukan Untuk Semua Kakitangan KKM

KUALA LUMPUR – Pemberian elaun khas diumumkan akhir bulan lalu bukan untuk semua 260,000 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), sebaliknya hanya kepada barisan hadapan yang bertugas menangani wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan pihak yang kurang jelas mengenai perkara itu supaya meneliti semula ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu.

“Elaun (khas) bukan untuk semua 260,000 warga KKM. (Sebaliknya) Untuk mereka di barisan hadapan dan terbabit dengan COVID-19 sahaja.

“Apa pun, sila rujuk ucapan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau mengulas ketidakpuasan hati individu dan netizen di media sosial apabila mendakwa kerajaan membeza-bezakan petugas kesihatan sehingga ada yang tidak menerima elaun khas meskipun cuti mereka dibeku dan dipanggil balik bertugas.

Ini kerana mereka yang cuti dibekukan dan dipanggil bertugas gara-gara pandemik COVID-19 juga tergolong sebagai barisan hadapan dan beranggapan patut menerima elaun khas berkenaan.

Justeru, mereka mahu kerajaan melihat semula pemberian elaun khas itu supaya adil kepada kakitangan kesihatan yang terpaksa mengorbankan cuti dan bekerja lebih masa gara-gara COVID-19.

Jika diteliti semula pengumuman Perdana Menteri pada 27 Mac lalu, kerajaan menambah elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang terbabit dalam pengurusan COVID-19.

Elaun khas yang dibayar kepada mereka adalah daripada RM400 kepada RM600 sebulan.

Elaun itu mula dibayar pada 1 April lalu dan akan diberikan sehingga wabak berkenaan berakhir. – BH Online