Elaun Bomba, BN Luluskan Tapi PH Batalkan – Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pengumuman Elaun Khas Perkhidmatan Bomba RM200 sebulan yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pernah diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 21 Mac 2018.

Bagaimanapun menurut Najib, peruntukan elaun itu dibatalkan PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

“PH fikir Malaysia mudah lupa. Elaun kritikal bomba telah diumumkan lulus oleh BN pada 21 Mac 2018 sempena Hari Bomba tahun lalu.

“BN yang lulus, PH yang batal, Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang tolong kembalikan, PH pun kembalikan, lepas itu, PH tanya kenapa dulu BN tak lulus,” soal Najib di Facebooknya hari ini.

Najib berkata demikian merujuk kepada pengumuman Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba yang bernilai RM200 sebulan oleh Guan Eng pada dalam sesi pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

“Jika BN masih mentadbir dan elaun bomba lulus pada tahun 2018, besar kemungkinan elaun ini juga akan dinaikkan lagi untuk tahun 2020 untuk menghargai anggota bomba akibat tragedi enam ahli bomba mati lemas pada bulan Okt 2018 serta tragedi kematian saudara Muhammad Adib,” kata Najib lagi.

Untuk rekod, sebanyak RM35 juta peruntukan disediakan bagi membayar elaun berkenaan mulai tahun depan.

Selain JBPM, berita gembira turut dikongsi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) apabila mereka juga bakal menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta. – MalaysiaGazette

Loading...