Elak Guna Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Terpakai

PETALING JAYA – Konsultan keselamatan penumpang kanak-kanak menasihati ibu bapa tidak membeli kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) terpakai meskipun ia dijual lebih murah.

May Hwong dari Childline Foundation berkata kebanyakan CRS dikeluarkan hanya boleh digunakan sehingga lapan tahun daripada tarikh pembuatan.

“Saya tahu ada ibu bapa yang mengadu tak mampu untuk membeli CRS ini tapi mungkin boleh dijadikan keperluan asas sebelum lahirkan anak atau menabung.

“Sebenarnya banyak CRS yang mengikut piawaian di pasaran tapi harganya mampu milik. Murah tak semestinya tak bagus, saya memang tak galakkan membeli CRS terpakai sebab kita tak tahu sejarahnya sama ada pernah terlibat kemalangan, ada bahagian yang hilang dan sebagainya.

“Kebanyakan CRS hanya boleh digunakan untuk enam hingga lapan tahun bermula daripada tarikh pembuatan kerana kesan cahaya UV boleh mengurangkan ketahanannya,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, kerajaan dilaporkan akan mewajibkan penggunaan CRS dalam kenderaan mulai 1 Januari, bagi mengelakkan daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Mengulas lanjut, May berkata mana-mana CRS yang terlibat dalam kemalangan tidak boleh digunakan lagi dan perlu dilupuskan segera.

Katanya lagi, mengikut statistik dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), daripada 2007 hingga 2017, seramai 1,559 kanak-kanak bawah 10 tahun maut akibat kemalangan jalan raya.

“Di Malaysia, kerajaan mewajibkan bayi baru lahir hingga tinggi yang kurang 135cm untuk pakai CRS sebab kena ingat tali pinggang keselamatan dicipta untuk orang dewasa bukan kanak-kanak.

“Apabila berlaku kemalangan, kesan atau kecederaan kepada kanak-kanak lebih serius,” katanya.

Beliau turut mencadangkan ibu bapa yang mempunyai anak ramai agar menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung demi keselamatan anak-anak.

Sebelum ini, Miros turut dilaporkan berkata hanya CRS yang mempunyai piawaian keselamatan ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia.

Miros menggariskan panduan penggunaan CRS kepada ibu bapa melalui laman web Kementerian Pengangkutan di mana CRS perlu bagi kanak-kanak sehingga mencapai berat 36kg dan tinggi 135cm.

Bagi bayi baru lahir sehingga 18 bulan memerlukan tempat duduk keselamatan bayi yang dipasang menghadap belakang manakala bayi 15 bulan sehingga 4 tahun dengan berat antara 9kg hingga 18kg dan tinggi 71cm ke atas memerlukan CRS menghadap hadapan.

Bagi kanak-kanak berusia 4 tahun hingga 7 tahun dengan berat 15kg hingga 25kg dan tinggi 100cm ke atas digalakkan memakai “booster with five point harness” manakala kanak-kanak berusia 6 tahun ke atas dengan berat 25kg hingga 36kg dan ketinggian sehingga 135cm memerlukan tempat duduk sokongan. – FMT

Loading...