Eksekutif Jualan Didenda RM100 Tunjuk Isyarat Lucah

KUALA LUMPUR – Akibat menunjukkan isyarat lucah kepada pegawai polis, seorang eksekutif jualan didenda maksimum RM100 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Derrick Johnson, 28, selepas tertuduh mengaku salah.

Tertuduh mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah jari tengah tangan kanan dengan niat mengaibkan dan menghina pegawai polis Sarjan Mejar Norhaizin Udin semasa melakukan sekatan jalan raya di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail, Brickfields pada 9.50 malam, 16 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran namun Derrick yang diwakili peguam Stanley Gabriel merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf dan itu merupakan kesalahan pertamanya. – BERNAMA

Loading...