‘Ekor’ Harimau Malaya Puji Usaha AirAsia

BANGKOK – AirAsia Malaysia memainkan peranan penting dalam menyemarakkan lagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia…

BANGKOK – AirAsia Malaysia memainkan peranan penting dalam menyemarakkan lagi aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala di sini, malam ini.

Satu penerbangan khas dari Kuala Lumpur ke Bangkok dengan kadar istimewa diaturkan AirAsia Malaysia itu ternyata memberi satu pengalaman baharu kepada 160 penyokong setia Harimau Malaya.

Seorang pekerja swasta, Hambali Arman, 30, menyifatkan penerbangan khas yang hanya membawa penyokong Harimau Malaya itu lebih membakar semangat penyokong menjelang aksi sepak mula berbanding sekiranya bergerak secara individu.

“Bergerak secara berkumpulan ini menjadikan kita lebih semangat kerana tujuan kita untuk memberi sokongan kepada pasukan negara dan secara tidak langsung membawa nama Malaysia. Ia amat berbeza dengan pengalaman saya bergerak solo,” kata anak jati Melaka itu.

Berkongsi pandangan sama adalah peniaga, Syed Sharom Wafa yang berpendapat pergerakan secara berkumpulan mewujudkan suasana lebih ceria selain jaminan keselamatan tinggi.

“Segalanya menjadi lebih mudah apabila bergerak secara berkumpulan dan dalam konteks sokongan pula, suasananya lebih bersemangat dan seronok. Kami ‘chant’ sepanjang perjalanan termasuk di dalam pesawat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penyokong Muhd Nurfikri Muhd Yusop, 27, berkata usaha AirAsia itu banyak membantunya meringankan beban dari aspek kewangan.

“Ini satu usaha yang bagus kerana tiket penerbangan pada saat akhir sangat mahal dan kami juga sudah banyak habis duit demi memastikan pemain negara bertungkus lumus untuk mendapatkan kemenangan,” katanya. – BERNAMA

Loading...