Ekonomi Rakyat Makin Tenat

1. PADA ruangan kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia ingin mengutarakan masalah ekonomi yang dialami rakyat marhaen. Di sebalik isu skandal seks pemimpin kerajaan, rakyat di bawah sebenarnya dihimpit dengan masalah ekonomi yang semakin tenat. Secara umumnya, harga barangan dan makanan terus meningkat. Barangan dan makanan ini merupakan keperluan asas untuk rakyat meneruskan kehidupan.

2. Di saat ringgit makin lemah dan pelabur asing saban hari keluar dari Malaysia, keadaan politik hari ini menyebabkan rakyat mual dan muak dengan ketiadaan pimpinan berkualiti daripada pihak Pakatan Harapan. Sejak beberapa minggu ini, rakyat Malaysia digegarkan dengan pelbagai klip video seks luar tabii dan kenyataan-kenyataan berkaitan skandal seks antara bekas Ketua AMK Santubong yang mendakwa melakukan seks luar tabii bersama seorang Menteri Kanan Pakatan Harapan. Pihak polis masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kesahihan video tersebut dan penyebaran bahan lucah.

3. Pada masa yang sama, sesetengah pimpinan Pakatan Harapan dilihat memfokuskan isu ini ke atas penyebaran bahan lucah, berbanding kesalahan jenayah yang dilakukan oleh pelaku-pelaku di dalam video tersebut. Alasan konspirasi politik jahat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menidakkan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mereka yang terlibat secara langsung di dalam video tersebut. Malaysia mempunyai akta-akta yang menggariskan kesalahan-kesalahan jenayah seks luar tabii. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa siasatan dan hukuman dilaksanakan terhadap mereka yang terlibat di dalam video tersebut dan mereka yang menyebar video tersebut.

4. Jelas menunjukkan seluruh fokus dan berita di dalam negara pada minggu lepas adalah berkisarkan skandal seks luar tabii tersebut dan pergolakan politik dalaman PKR. Akhirnya, berita-berita berkaitan masalah rakyat dan masalah ekonomi terus tenggelam. Contohnya, insiden terbaru di Pasir Gudang melibatkan anak-anak sekolah, tidak mendapat perhatian umum. Pejam celik, tragedi pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sudah berlalu hampir empat bulan. Tragedi tersebut telah memaksa ribuan pelajar dan penduduk tempatan mendapatkan rawatan di hospital dan berdepan pelbagai masalah kesihatan. Dilaporkan pada minggu lepas, seramai 39 orang pelajar dari lima buah sekolah di Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak nafas sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Masai.

5. Insiden terbaru ini menunjukkan kegagalan YB Menteri Yeo Bee Yin dalam mengurus-tadbir tragedi pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang yang berlarutan hampir 4 bulan. Sehingga hari ini, YB Yeo sekadar membuat kenyataan bahawa kementerian, jabatan alam sekitar dan kerajaan negeri menggiatkan langkah penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di Pasir Gudang. Malangnya, sehingga hari ini hanya langkah reaktif yang dilaksanakan dengan memberikan alat pengesan gas kepada sekolah-sekolah di Pasir Gudang pada awal bulan Julai. Namun, insiden sama terus berulang menyaksikan bahawa langkah ini bukanlah langkah penyelesaian kepada tragedi ini.

6. Dari sudut ekonomi rakyat marhaen pula, harga barangan dan keperluan makanan terus meningkat berbanding setahun yang lepas. Berdasarkan “Indeks Harga Pengguna (IHP)”, peningkatan sebanyak 0.2 peratus secara keseluruhan pada Mei 2019 kepada 121.4 berbanding 121.1 pada bulan sama tahun sebelumnya. Ini adalah berdasarkan statistik yang diperoleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Kumpulan utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api (+1.8%), Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (+1.2%), Pendidikan (+1.2%), dan Restoran (+0.6%).

7. Secara keseluruhannya, peningkatan indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol adalah didorong oleh kenaikan harga Sayur-Sayuran (+4.5%), Ikan dan Makanan Laut (+0.9%) dan Susu & Telur (+0.7%). Di samping itu, peningkatan harga sebanyak 2.9% dilaporkan bagi makanan seperti burger, ayam goreng, nasi campur dan mee. Perangkaan ini jelas menunjukkan rakyat terus tertekan dengan peningkatan harga barang keperluan asas dan makanan. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengingatkan bahawa perangkaan tersebut adalah berdasarkan harga pada 2 bulan yang lepas. Harga makanan dan minuman pada bulan Julai pasti meningkat kerana cukai gula pula diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan.

8. Pemimpin Pakatan Harapan digesa mentadbir negara dengan penuh tanggungjawab dan kurangkan politik murahan. Rakyat mahu hidup di dalam negara dengan perasaan gembira tanpa khuatir dengan permasalahan ekonomi. Bagaimanakah untuk gembira pada hari ini jika indeks harga telur pun meningkat 0.7%? Jika melihat indeks harga pengguna mengikut negeri, tiga negeri iaitu Pulau Pinang (+0.7%), Negeri Sembilan (+0.6%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+0.5%) menunjukkan kenaikan melebihi paras nasional sebanyak 0.2%. Makin ramailah rakyat Malaysia yang menetap di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan menjadi golongan “miskin bandar” kerana kuasa beli makin terhakis.

9. Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Demi Bangsa Malaysia!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera

Loading...