Ekonomi Negara Diunjur Catat Pertumbuhan 6.5-7.5% Pada 2021

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara diunjur kembali pulih antara 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021 selaras dengan jangkaan pemulihan pertumbuhan global dan perdagangan antarabangsa.

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan hari ini berkata, angka ini merupakan kenaikan daripada penguncupan 4.5 peratus yang di jangkakan pada tahun ini akibat kesan daripada penularan pandemik COVID-19.

Pada 2019, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.3 peratus.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu juga akan disokong oleh momentum pemulihan yang meningkat pada suku ketiga terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, selaras dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi,” katanya.

Unjuran KDNK kerajaan itu adalah dalam lingkungan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara  5.5 peratus dan lapan peratus pada tahun depan. Bagi tahun ini, bank pusat menganggarkan pertumbuhan KDNK  antara -5.5 peratus dan -3.5 peratus.

Kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka mencatatkan pertumbuhan tujuh peratus tahun depan, daripada -3.7 peratus dan -3 peratus yang diunjurkan pada tahun ini.

Pertanian, perlombongan dan pembinaan dijangka mencatatkan kenaikan masing-masing pada 4.7 peratus, 4.1 peratus dan 13.9 peratus pada 2021 (2020: -1.2 peratus, -7.8 peratus dan -18.7 peratus).

Menurut laporan itu, pertumbuhan akan terus dipacu oleh asas ekonomi yang baik.

Namun begitu, prospek ekonomi yang memberansangkan ini bergantung kepada dua faktor utama iaitu kejayaan mengekang COVID-19 dan pemulihan berterusan permintaan luaran, katanya.

Pada 2021, inflasi dijangka dinormalisasikan pada kadar 2.5 peratus sejajar dengan prospek ekonomi yang lebih baik dan harga minyak mentah yang tinggi.

Menyentuh mengenai perkembangan monetari dan kewangan, kementerian kewangan berkata, kadar dasar semalaman (OPR) telah dikurangkan secara berturut-turut sebanyak 125 mata asas pada tempoh tujuh bulan pertama 2020 kepada 1.75 peratus iaitu paras terendah yang pernah direkodkan.

Pada masa yang sama, keperluan rizab berkanun telah diturunkan sebanyak 100 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.00 peratus bagi memastikan mudah tunai mencukupi untuk menyokong pasaran kewangan domestik.

“Dasar monetari akan terus menyokong ekonomi domestik sementara sektor perbankan akan terus kukuh dan teratur disokong oleh mudah tunai yang mencukupi dan penampan modal yang kukuh.

“Pasaran modal juga dijangka kekal teguh dipacu oleh infrastruktur dan instrumen yang baik,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, kadar pemulihan ekonomi global, harga komoditi yang rendah dan ketidakstabilan pasaran kewangan global merupakan antara faktor yang boleh memberi kesan kepada prestasi pasaran kewangan domestik.

Ekonomi global dijangka pulih dengan pertumbuhan 5.2 peratus, berbanding pertumbuhan negatif 4.4 peratus yang diunjurkan pada tahun ini.

Tumpuan segera kerajaan diberikan untuk menangani krisis bagi memastikan jaminan keselamatan rakyat serta menyediakan bantuan kepada  isi rumah dan perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.

Bagi membiayai pakej rangsangan, perundangan baharu iaitu Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 telah diluluskan Parlimen pada 21 September 2020.

Akta tersebut membolehkan kerajaan melaksanakan pakej rangsangan yang dirumuskan melalui enam tahap R secara berkesan.

Tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan produktiviti serta mengembalikan semula keyakinan pengguna.

“Sehubungan itu, kerajaan akan memberi keutamaan kepada bidang penting seperti memudahkan proses menjalankan perniagaan, meningkatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam sektor awam dan swasta serta memastikan kestabilan pasaran buruh.

“Pelbagai inisiatif akan dirangka untuk menyediakan persekitaran yang lebih kondusif kepada perniagaan dan FDI untuk berkembang maju.

“Di samping itu, kerajaan, melalui Belanjawan 2021 akan meningkatkan produktiviti dengan memperluas penggunaan teknologi secara menyeluruh termasuk individu, PKS dan korporat,” katanya. – BERNAMA