Ekonomi Malaysia Dijangka Pulih Sepenuhnya Tahun Depan

PADANG BESAR – Ekonomi negara yang sedang mengalami pengucupan akibat penularan wabak COVID-19 dijangka pulih sepenuhnya tahun depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usaha kerajaan kini adalah merancakkan kembali ekonomi negara seterusnya mengembalikan semula keadaan seperti sebelum berlakunya COVID-19.

“Kita tahu negara masih lagi menghadapi masalah kesihatan (COVID-19) namun hampir kesemua sektor ekonomi sudah dibuka, jika dilihat sektor peruncitan semakin meningkat (bagaimanapun) sektor pelancongan masih belum berkembang.

“Kita harap sektor pelancongan domestik akan berkembang dalam masa sebulan atau dua bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Mustapa berkata kerajaan telah memainkan peranan besar dalam menangani isu COVID-19, menstabilkan keadaan dan kini negara dalam proses pemulihan.

“Kerajaan telah mengumumkan tiga pakej rangsangan ekonomi — Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana, serta Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) — yang keseluruhannya bernilai RM295 bilion.

“Ia merupakan satu angka yang besar dan tidak pernah dibelanjakan sebelum ini untuk menangani krisis seperti ini,” katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan bukan hanya kepada usaha pemulihan ekonomi malah merancang  pertumbuhan susulan ekonomi yang menguncup sepanjang suku pertama 2020.

“Kita menghadapi masalah ekonomi yang serius pada suku pertama 2020 dengan pertumbuhan ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada hanya 0.7 peratus dan dijangka menguncup lagi pada suku kedua (April hingga Jun),” katanya. – BERNAMA

Loading...