Edry Berhijrah Ke Eropah, Demi Kepentingan Anak

PENGARAH dan penyanyi, Edry Abdul Halim menyatakan bahawa salah satu punca pembubaran kumpulan rap legenda, KRU disebabkan anggotanya mahu tumpu sepenuh perhatian kepada keluarga.

Memetik mStar Online, Edry berkata, dia memasang hasrat untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan pembelajaran yang terbaik untuk anak ketiganya iaitu Emery yang merupakan seorang anak autisme.

“Malaysia tiada sekolah khas untuk autisme dan anak ketiga saya itu sudah nak masuk 11 tahun namun masih belum boleh bercakap. Cikgu di sekolahnya suruh kami hantar ke sekolah lain.

“Anak saya tidak boleh bercakap lagi. Perkara itu buat saya berfikir bahawa saya guna banyak masa ajar orang menyanyi tapi anak sendiri masih tak boleh bercakap. Penghijrahan itu untuk anak,” jelasnya.

Ujar Edry lagi, dia merancang untuk ke sebuah negara Eropah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mencari sekolah yang sesuai untuk anaknya itu.

“Sepatutnya sehari selepas konsert kami akan ke Eropah tapi terpaksa ditangguhkan mungkin selepas hari raya puasa nanti.

“Insya-Allah kita cuba setahun dahulu dan tengok perkembangan sama ada dia boleh terima atau tidak,” ujar penyanyi berusia 41 tahun itu.

Edry bersama anaknya, Emery.

Tambahnya lagi, dia juga berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang tertentu kerana ia merupakan impian yang tertangguh selepas menceburkan diri dalam bidang seni sejak berumur 16 tahun.

“Saya nak sambung belajar kerana itu impian saya yang tidak tercapai. Dulu saya sibuk menyanyi sejak umur 16 tahun dan hanya ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja,” tambahnya.

Edry dan isteri iaitu Milia Mohammed mendirikan rumah tangga pada November 1999. Pasangan ini telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Emil, Edylia, Emery dan Elya. – MYNEWSHUB.CC/AM