‘Edit My Ex’ Khidmat Sunting Gambar Bekas Kekasih

BERGAMBAR kenangan bersama pasangan ketika melawat tempat menarik adalah saat yang paling indah untuk disimpan.

Namun apabila hubungan itu tidak berkekalan maka mulalah apa sahaja yang dirakam bersama hendak dibuang.

Bagaimanapun gambar yang dirasakan sangat bermakna seperti ditempat bersejarah atau pemandangan yang cantik pasti sukar untuk dibuang.

Jadi bagaimana? Tentunya anda tidak sanggup membuang gambar itu bukan? Menyunting sendiri satu pilihan yang baik, tetapi bagaimana jika anda tidak mempunyai kemahiran itu?

Sebuah perkhidmatan atas talian kini disediakan, khusus untuk anda yang mahu menyimpan memori itu, tetapi tidak mahu gambar orang lain di dalam gambar tersebut.

Edit My Ex membolehkan anda menyunting dan membuang imej si dia yang anda tidak mahu, dengan cara yang mudah.

Idea untuk membina perkhidmatan dalam talian seumpama itu dicetuskan oleh Mark Rofe selepas berjaya menyunting imej bekas kekasih sahabat baiknya.

“Dia menangis kegembiraan apabila melihat foto itu, membuktikan kesannya cukup besar.

“Jadi saya mahu melakukan yang sama untuk orang lain juga,” kata Rofe seperti yang dipetik dalam portal Oddity Central.

Edit My Ex mengenakan bayaran £8.99 (RM48.38) untuk setiap keping foto yang disunting.

Menurut kenyataan di laman webnya, sesetengah foto mungkin terlalu rumit untuk disunting, yang akan menyebabkan bayarannya sedikit mahal. – FMT

Loading...