Edar Dadah: Pekerja Kilang Terlepas Hukuman Gantung

GEORGE TOWN – Seorang bekas pekerja kilang terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohammad Bakri Mazlan, 25 di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya Abdul Wahab berkata tertuduh tiada pengetahuan mengenai dadah serta bukan pemilik dadah.

“Berdasarkan keterangan daripada saksi pendakwaan kelapan, tertuduh hanya menerima arahan daripada seorang individu dan hanya menurut arahan itu dengan mengambil 12 bungkusan yang terdiri daripada barang-barang yang diseludup dan bukannya dadah, dari laut dan dibawa ke lori,” katanya.

Abdul Wahab berkata tertuduh juga tidak mengetahui bahawa bungkusan yang dibawa itu adalah dadah.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mohammmad Bakri bersama dua lagi yang masih bebas didakwa mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 447,032.5 gram di tepi tapak pembinaan Angsana Senja Aman, Teluk Bahang di daerah Barat Daya di sini, pada 6 pagi, 23 Mei 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung atau dipenjara seumur hidup serta dikenakan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan sekiranya tidak dihukum gantung.

Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Emma Syafawati Abdul Wahab manakala tertuduh diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid. – BERNAMA