Edar Dadah, 3 Lelaki Dihukum Gantung Sampai Mati

GEORGETOWN – Dua lelaki warga Iran dan seorang rakyat tempatan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas kesalahan mengedar dadah jenis methamphetamine, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap J Balakrishnan, 63; Mohammad Abbasi Younes, 37, dan Seyed Mohsen Namazikivaj Seyedreza, 31, di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang juga wanita rakyat tempatan, B Lacheme Devi, 56, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit selepas mahkamah mendapati wujud keraguan sama ada tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah terbabit di lokasi kejadian.

Akhtar ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah mengambil kira semua bukti dalam kes terbabit dan keterangan bersumpah daripada tertuduh yang jelas membuktikan mereka mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan dadah berkenaan di lokasi kejadian.

Katanya, bukti turut menunjukkan ketiga-tiga mereka berada di lokasi dan tahu mengenai penghasilan dadah di situ.

โ€œSelepas meneliti semua bukti dan keterangan bersumpah, mahkamah dengan ini mensabitkan tuduhan terbabit dan menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga tertuduh,โ€ katanya.

Terdahulu, mengikut pertuduhan pindaan, semua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dengan cara pembuatan dadah berbahaya jenis methamphetamine di premis bernombor 57 B, Perindustrian Kecil, Taman Sri Rambai, Seberang Perai Tengah di sini pada jam 10.10 malam, 20 Ogos 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aimy Zainul Anwar dan Nurul Fatin Hussain.

Mohammad Abbasi dan Seyed Mohsen Namazikivaj diwakili peguam Kitson Foong, manakala A Ashok mewakili Balakrishnan dan Lacheme Devi pula diwakili peguam RSN Rayer.

Terdahulu, Farah Aimy memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman mandatori ke atas tertuduh.

Ketiga-tiga tertuduh kelihatan tenang sebaik keputusan terbabit dibacakan ke atas mereka.

Sementara itu, Foong memaklumkan barisan peguam yang mewakili tertuduh akan memfailkan rayuan hari ini terhadap keputusan mahkamah itu. – BH Online