ECRL Tetap Rugi Walaupun Kos Dikurangkan

KUALA LUMPUR – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat sebagai sebuah projek yang bakal mencatatkan kerugian untuk satu tempoh tertentu selepas siap pada 2026, menurut bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Dalam temubualnya dengan South China Morning Post, Daim berkata, projek yang dilihat China sebagai tulang belakang Inisiatif Belt and Road itu tiada beza dengan projek-projek infrastuktur lain yang mengambil masa panjang untuk mendapatkan hasil.

Meskipun Malaysia-China telah memeterai perjanjian tambahan yang menyaksikan penjimatan sehingga RM21 bilion, utusan khas perdana menteri untuk rundingan semula ECRL masih tegas pada pendiriannya bahawa projek itu adalah sebuah projek yang merugikan, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun akan datang.

Ketika mula-mula mengadakan rundingan dengan China, Daim dalam temubual dengan Post berpendapat, ECRL adalah sebuah projek yang merugikan.

Namun begitu Malaysia tetap perlu meneruskan projek berkenaan bagi mengelakkan tindakan undang-undang daripada China.

Menurut Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu, selain pengurangan kos hasil daripada penjajaran semula landasan, perbezaan paling utama di dalam perjanjian tambahan ECRL adalah perkongsian kos pengurusan, penyelenggaraan dan operasi projek dengan China Communications Constructions Company (CCCC).

Pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Bhd. (MRL) akan berkongsi kos tersebut secara saksama dengan CCCC walaupun Malaysia akan membawa pulang 80 peratus keuntungan, jika ada.

“Inisiatif oleh CCCC ini sangat dialu-alukan dan menunjukkan niat baik China yang mahukan projek ECRL diteruskan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kritikan yang mempersoalkan mengapa beliau sanggup bersetuju dengan syarat-syarat baharu perjanjian tersebut walaupun boleh sahaja membatalkannya, Daim menjawab, pendapat sedemikian adalah tidak masuk akal.

“Sesiapa yang mahu mengkritik, sila tulis surat kepada kerajaan. Keluar dan berterus terang.

“Jangan sekadar pandai mengkritik. Ada orang kata, kenapa tidak batalkan sahaja perjanjian tersebut?

“Bukannya kena bayar pun.

“Mereka tahu apa makna perjanjian atau tidak? Ini adalah perjanjian yang terikat dengan undang-undang, ia mungkin berat sebelah tetapi Malaysia tetap terikat.

“Anda tidak boleh menyalahkan China.

“Jika anda bodoh sangat untuk sanggup menandatangani perjanjian sedemikian, itu masalah anda,” tegasnya.

Ketika ditanya apakah China marah mengenai rundingan semula itu, Daim berkata: “Apa yang saya kata tadi adalah ini projek Belt and Road. Jika anda langar (perjanjian) ia akan menjadi berita antarabangsa. Amerika dan beberapa negara lain akan menontonnya. Mereka akan bersorak untuk kita tetapi bukan mereka yang menanggung akibatnya, jadi kita perlu berhati-hati.”

Jelas Daim, semakan semula perjanjian itu tidak menyebabkan Malaysia terikat dengan syarat tambahan di luar perjanjian, sekali gus menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan persetujuan kedua-dua negara untuk mengurangkan kos ECRL adalah sebahagian daripada pelan quid pro quid (saya tolong, awak tolong saya).

Namun begitu, beliau pernah berbincang secara tidak formal mengenai usaha meningkatkan ketibaan pelancong dari China dan tambahan pembelian minyak sawit Malaysia ke negara tersebut.

China merupakan pembeli ketiga terbesar minyak sawit Malaysia. Harga komoditi itu bagaimanapun berada di paras yang rendah sejak beberapa bulan lalu akibat perang perdagangan Amerika Syarikat – China yang tidak berkesudahan.

“Kita kata, lihat, anda jauh lebih hebat, lebih kaya daripada negara-negara lain.

“Kenapa tidak beli lebih?

“Tetapi ia bukan sebahagian daripada perjanjian ECRL,” katanya lagi. – Agensi

Loading...