ECRL Mungkin Kembali Ke Bentong?

KUANTAN – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh dikatakan projek berliku kerana pernah digantung, diumum sebagai batal, sebelum diaktifkan semula.

Walaupun pembinaannya akan disambung semula, tetapi laluan asalnya telah diubah dengan melencong dari Bentong di Pahang.

Kerajaan negeri Pahang bagaimanapun telah mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan dan laluannya mungkin diubah sekali lagi.

Sinchew Daily melaporkan, landasan itu mungkin menjalar dari Mentakab ke Pelangai di Bentong sebelum meneruskan perjalanan ke selatan dengan memasuki Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, kerajaan negeri telah berunding dengan China Communications Construction Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) pada bulan lalu.

Beliau berkata, selepas rundingan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah bertandang ke Putrajaya untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan wakil khas rundingan ECRL, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, pandangan Wan Rosdy telah mendapat persetujuan daripada Dr. Mahathir dan Daim.

“Pada peringkat ini, masih ada beberapa perkara yang perlu dirundingkan.

“Jika dipersetujui Kerajaan Persekutuan, ia pasti merupakan berita yang baik untuk penduduk Bentong,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya pertukaran laluan ke arah Pelangai berbanding laluan Bentong yang asal adalah kerana faktor kos.

Jelasnya, laluan Bentong asal memerlukan kerja pembinaan terowong di kaki bukit Genting yang memerlukan kos yang besar.

“Pelangai pula lebih sesuai kerana tidak banyak bukit di sini,” katanya.